AM

Institusi Pendidikan Di Sarawak Perlu Seiring Dengan Agenda Teknologi Negeri

06/08/2024 01:31 PM

KUCHING, 6 Ogos (Bernama) -- Institusi pendidikan di Sarawak perlu seiring dengan pelbagai bidang teknologi yang sedang diterokai oleh negeri itu, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat negeri Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Sagah berkata bidang berkenaan termasuk hidrogen, tenaga suria dan terkini industri aeroangkasa.

“Oleh itu, pembangunan dari aspek profesional secara berterusan dalam kalangan guru dan pensyarah di institusi pendidikan di negeri ini adalah penting.

“Pendekatan ini akan membolehkan sekolah dan universiti mempunyai pakar selain mampu untuk menawarkan lebih luas pilihan bidang masa hadapan yang membolehkan pelajar meneroka dan membangunkan kemahiran khusus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Teknologi Maju Mampan (ASTECH) Sarawak 2024 di sini hari ini. 

Sementara itu, Sagah berkata meskipun Sarawak amat menekankan usaha memumpuk bakat muda masa depan, adalah penting untuk memastikan modal insan turut diiktiraf dan diberi penghargaan secara profesional.

“Kami menggesa para profesional yang ada sekarang agar mendaftar sebagai juruteknik atau ahli teknologi profesional. Kami menyasarkan 10,000 profesional berdaftar menjelang 2025.

“Setakat Jun lepas, Sarawak telah mempunyai 6,555 profesional berdaftar di bawah Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan