AM

Populasi Kuala Lumpur Cecah 8.8 Juta Orang

06/08/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Populasi di ibu negara kini dianggarkan melebihi 8.8 juta orang dengan peningkatan tahunan sebanyak 2.25 peratus berbanding tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata jumlah itu dijangka terus bertambah mencecah 9.8 juta orang menjelang 2030 dan pembangunan pesat itu menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjadi lebih proaktif dalam perancangan dan penyediaan infrastruktur.

“Pertumbuhan populasi ini bukan sahaja melibatkan peningkatan semula jadi dalam kawasan bandar, malah juga migrasi masuk yang tinggi dari luar bandar.

“Ini memberikan satu tekanan kepada infrastruktur sedia ada dan menuntut supaya kita menyediakan satu perkhidmatan asas yang lebih baik buat semua warga kota agar Kuala Lumpur ini menjadi sebuah bandar berdaya huni. Tidak dilupakan juga, isu seperti pencemaran udara dan kekurangan ruang hijau turut menjadi antara kebimbangan utama yang perlu diatasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pelancaran 10 Garis Panduan Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Menara 1 DBKL, hari ini.

Bagi menghadapi semua cabaran itu, Dr Zaliha berkata DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan perlu terus peka dengan keperluan dan kehendak semasa pembangunan di ibu negara untuk memastikan kehidupan yang berkualiti.

“Setiap keputusan pembangunan perlu dibuat dengan pertimbangan yang wajar untuk memastikan keseimbangan di antara pembangunan dan kesejahteraan warga kota,” katanya.

Mengenai pelancaran garis panduan berkenaan, Dr Zaliha berkata ia bertujuan memastikan amalan tata kelola yang baik diamalkan di DBKL dengan setiap langkah perancangan pembangunan dapat dipantau dengan lebih efektif selain menilai tahap keberkesanan sesuatu polisi serta strategi dilaksanakan  dan mempromosikan penambahbaikan berterusan.

“Setiap garis panduan itu adalah hasil daripada kajian terperinci dan konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan. Dengan pendekatan yang inklusif seperti ini, saya berharap agar ia akan memberi impak positif kepada setiap warga kota,” katanya.

Antara garis panduan itu, merangkumi perancangan residensi MADANI; kemudahan ruang penjaja MADANI;  pelaksanaan perancangan pembangunan petak pengecasan kenderaan elektrik dan  semakan bangunan rendah karbon.

Kesemua garis panduan berkenaan akan dipaparkan kepada awam melalui laman web DBKL untuk rujukan semua pihak.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan