AM

Liga Super Perlis Usaha Utama Kerajaan Negeri Kembalikan Kegemilangan Singa Utara

06/08/2024 08:03 PM

KANGAR, 6 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Liga Super Perlis adalah antara usaha utama kerajaan negeri untuk pembangunan dan kemajuan sukan bola sepak di negeri itu sekali gus mengembalikan kegemilangan 'Singa Utara’.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis Wan Zikri Afthar Ishak berkata penganjuran Liga Super Perlis dengan sinergi Persatuan Bola Sepak Negeri itu telah memasuki edisi ketiga dan berevolusi secara positif.

“Untuk 2024, Liga Super Perlis ini turut dimeriahkan dengan tambahan Piala Perlis, Piala Komuniti Perlis dan Piala Fairplay. Insya-Allah, Liga Super Perlis ini akan diteruskan pada tahun mendatang dengan penganjuran bersama Persatuan Bola Sepak Perlis dan sentiasa akan lebih baik,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abu Bakar Hamzah (PN-Kuala Perlis) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri untuk menghidupkan arena bola sepak di Perlis demi mengembalikan kegemilangan laungan ‘Singa Utara’.

Selain itu, Wan Zikri Afthar berkata antara usaha lain untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di Perlis adalah dengan pemerkasaan dan sokongan kemudahan pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) melalui Akademi Tunas sedia ada.

“Untuk rekod, sebanyak 19 pemain cilik ini telah dipanggil ke Akademi Mokhtar Dahari sejak 2018 hingga 2024. (Selain itu) Pemerkasaan Liga Tunas Negeri Perlis dengan kerjasama pihak berkepentingan bagi memastikan penglibatan lebih ramai pemain cilik dan tempoh liga yang kompetitif,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan