EKONOMI

Malaysia Siap Sedia Jadi Pengerusi ASEAN Tahun Depan, Memacu Integrasi Serantau

08/08/2024 11:57 AM

Oleh V.Sankara Subramaniam

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Tahun depan semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, ia dijangka menjadi tempoh transformatif bagi Asia Tenggara, dengan kepimpinannya dijangka memainkan peranan penting memajukan integrasi serantau dan menangani cabaran global.

Pengerusi Majlis Perniagaan ASEAN-India (Malaysia) Datuk Ramesh Kodammal menekankan kedudukan strategik Malaysia sebagai aset utama.

Beliau berkata peranan Malaysia sebagai pengerusi akan meningkatkan hubungan ASEAN dengan rakan dialog utama, terutamanya China dan India, yang merupakan dua pasaran kritikal bagi rantau ini.

"Kepimpinan Malaysia sebagai pengerusi perkumpulan negara-negara Asia Tenggara ini akan mengetengahkan bidang-bidang penting seperti kerjasama maritim, rantaian bekalan dan rantaian nilai, memacu peralihan dasar yang ketara ke arah integrasi serantau yang lebih mendalam," kata Ramesh kepada Bernama.

Semasa ASEAN bergerak ke arah memuktamadkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 bersama dengan pelan strategik dan matlamat ketersambungannya, kepimpinan Malaysia dijangka memangkin kemajuan bermakna dalam kerjasama dan integrasi ekonomi serantau.

“Pada 2025, semasa menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, Malaysia akan berada pada kedudukan yang strategik untuk memajukan infrastruktur mampan dan inisiatif ekonomi digital, yang semakin mendapat tarikan di seluruh rantau ini,” katanya.

Beliau berkata sebagai pengerusi ASEAN Malaysia juga akan memperjuangkan inisiatif ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP).

“Dengan mempromosikan AOIP melalui projek konkrit dan memupuk kerjasama dalam bidang seperti keselamatan maritim dan ketersambungan, Malaysia berhasrat untuk membina kepercayaan dan manfaat bersama dalam rangka kerja yang diterajui ASEAN,” katanya.

Malaysia ialah rakan perdagangan ketiga terbesar India dari ASEAN, selepas Singapura dan Indonesia. Perdagangan dua hala India-Malaysia telah melepasi paras US$20 bilion pada 2023-24 dan berkemungkinan mencecah US$30 bilion menjelang 2025.

Laos akan menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN dari 8 hingga 11 Okt ini.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini dianggotai 10 negara yang terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. Keahlian penuh Timor-Leste dalam perkumpulan itu tertangguh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan