AM

Mesyuarat Khas SOM AMAF Ke-45 Setuju Percepat Pelan Strategik Kerjasama Makanan, Pertanian Dan Perhutanan

08/08/2024 03:56 PM

JOHOR BAHRU, 8 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat khas Pegawai Kanan Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN kali ke-45 (SOM-45th AMAF) bersetuju untuk mempercepatkan pembangunan Wawasan dan Pelan Strategik ASEAN Pasca 2025 untuk Kerjasama Makanan, Pertanian dan Perhutanan.

Mesyuarat tiga itu berakhir di sebuah hotel di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Lokman Hakim Ali yang mempengerusikan mesyuarat itu, menggalakkan semua negara anggota ASEAN menyegerakan usaha pembangunan Visi dan Pelan Strategik Pasca 2025 yang mantap.

Dalam satu kenyataan, kementerian memaklumkan kerja penting ini bukan sekadar latihan yang berpandangn jauh, tetapi juga keperluan strategik yang akan membentuk masa depan keselamatan makanan ASEAN, daya tahan pertanian dan kelestarian alam sekitar.

"Pelan Strategik itu akan merangkumi isu-isu terkini seperti pendigitalan dalam pertanian serta amalan inovatif lain bagi menangani kedua-dua trend serantau dan global," menurut kementerian.

Kementerian memaklumkan bahawa semasa mesyuarat tersebut, 13 Kumpulan Kerja di bawah bidang kuasa SOM-AMAF telah melaporkan hasil kerja mereka dan kemajuan aktiviti kerjasama dalam sektor makanan, pertanian dan perhutanan, perdagangan dalam pertanian, serta hasil hutan.

"Laporan mesyuarat ini telah berjaya disahkan oleh SOM-AMAF," katanya.

Malaysia menyampaikan laporan untuk lima daripada 13 Kumpulan Kerja, termasuk Mesyuarat Ke-12 Pusat Perhubungan SPS ASEAN, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Ke-13 mengenai Perubahan Iklim dan Keselamatan Makanan, serta Mesyuarat Lembaga Pengelola Pertama Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kesihatan Haiwan dan Zoonosis (ACCAHZ).

Malaysia juga menyampaikan laporan untuk Mesyuarat Ke-32 Kumpulan Kerja Sektoral ASEAN  mengenai Perikanan (ASWGFI) dan Mesyuarat Ke-30 Kumpulan Kerja Sektoral ASEAN mengenai Latihan dan Pendidikan (AWGATE).

Ia memaklumkan bahawa penyampaian utama di bawah kumpulan kerja yang dipengerusikan oleh Malaysia merangkumi, tetapi tidak terhad kepada, pelaksanaan sijil fitosanitasi elektronik di ASEAN, peningkatan kapasiti analisis sisa racun perosak, pelaksanaan langkah dan inisiatif menggunakan teknologi digital serta kaedah penyahkarbonan untuk menangani kesan perubahan iklim dalam sektor tanaman, perikanan, dan ternakan, serta penubuhan pusat kesihatan haiwan dan zoonosis di Malaysia.

Menurut KPKM, Malaysia juga membentangkan Cadangan Keutamaan Ekonomi Deliverables (PED) sempena dengan Pengerusi AMAF ke-45 Malaysia, bertemakan “Growing Together: Advancing ASEAN Agriculture and Forestry for Sustainable Development, serta sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Ia memaklumkan cadangan PED yang dibentangkan oleh Malaysia dan disokong untuk kerja selanjutnya oleh SSOM-45th AMAF adalah: Pembangunan Tinjauan untuk Pertanian dan Perhutanan ASEAN, serta Pembangunan Pelan Tindakan Mengenai Keselamatan Makanan (2026-2030).

“PED ini diterima baik oleh negara anggota ASEAN yang lain dan disifatkan sebagai dokumen kritikal yang akan mengemudi prospek sektor pertanian dan perhutanan untuk lima tahun akan datang, serta untuk mengurangkan kesan buruk perubahan iklim terhadap keselamatan makanan di rantau ini,” menurut kementerian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan