EKONOMI

Rehda Harap Lebih Banyak Penyelesaian Bersasar Penuhi Keperluan Rumah Mampu Milik

08/08/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) berharapkan lebih banyak penyelesaian bersasar berbanding pendekatan satu penyelesaian untuk semua bagi memenuhi keperluan rumah mampu milik. 

Presidennya Datuk Ho Hon Sang berkata walaupun terdapat syarat-syarat mandatori yang berbeza antara negeri, cabaran yang perlu ditangani adalah penawaran dan permintaan yang tidak sepadan.

“Kita komited untuk menyediakan rumah mampu milik tetapi tumpuan harus diberikan kepada lokasi yang betul.

"Sesetengah kawasan memerlukan lebih banyak unit sedemikian manakala kawasan lain kurang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini susulan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pelaksanaan konsep perumahan MADANI untuk memenuhi keperluan penjawat awam dan perumahan golongan B40 dan M40.

Menurut laporan terbaharu Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), 28.6 peratus rumah siap belum terjual di Malaysia pada suku pertama 2024 (S1 2024) berharga di bawah RM300,000.

Ho berkata satu lagi cabaran utama adalah kenaikan kos. 

Tinjauan Industri Hartanah Rehda Separuh Kedua 2023 dan Tinjauan Pasaran bagi 2024 yang dikeluarkan pada Mac 2024 menunjukkan purata kenaikan kos menjalankan perniagaan adalah kira-kira 15 peratus pada suku kedua 2023 berbanding 13 peratus pada suku kedua 2022.

Beliau berkata pemaju memberi subsidi silang perumahan mampu milik, yang menaikkan harga unit pasaran bebas, untuk mengekalkan harga rumah mampu milik di bawah kos pembinaan.

“Syarat-syarat yang dicadangkan, iaitu satu atau dua blok penuh perlu dijadikan perumahan MADANI dan bukannya peratusan yang ditetapkan, sudah tentunya akan menyebabkan harga pasaran bebas terus meningkat lagi bagi mereka yang tidak layak untuk perumahan mampu milik,” kata Ho.

Ini termasuk kumpulan M40 yang pendapatannya lebih tinggi daripada ambang kriteria yang layak, katanya.

Beliau berkata, Rehda mencadangkan penubuhan amanah perumahan mampu milik nasional dengan pemaju menyumbang peratusan tertentu daripada nilai pembangunan kasar (GDV) mereka kepada amanah tersebut.

"Jawatankuasa amanah - yang dianggotai wakil daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihak berkuasa negeri dan REHDA - boleh menganalisis bahagian mana di bandar atau negeri yang mempunyai permintaan tinggi bagi rumah mampu milik,” katanya.

Ini, katanya, bertujuan untuk memastikan unit rumah mampu milik dibina di kawasan yang ada permintaan, dan bukan sekadar untuk memenuhi kuota yang tidak dipacu pasaran yang menyebabkan sesetengah kawasan kurang penawaran manakala kawasan lain terlebih penawaran, katanya.

Selain itu, Ho berkata bank juga harus memainkan peranan mereka dengan menawarkan pinjaman bersubsidi untuk unit tersebut.

Caj pembangunan yang diberi diskaun dan penambahbaikan dana perkhidmatan juga akan membantu mengurangkan harga unit mampu milik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan