DUNIA

Ribuan Penunjuk Perasaan Anti-perkauman Berhimpun Di Uk, Tentang Demonstrasi Sayap Kanan

08/08/2024 05:15 PM

LONDON, 8 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Ribuan penunjuk perasaan anti-perkauman turun ke jalan di kebanyakan bandar dan pekan di United Kingdom pada Rabu bagi menentang demonstrasi sayap kanan akibat insiden tikam di Southport, lapor Xinhua.

Menjelang 11 malam (2200 GMT), kebanyakan rancangan demonstrasi sayap kanan tidak menjadi kenyataan selepas kerajaan British mengerah anggota polis untuk mengawal ketenteraman manakala sejumlah besar penunjuk perasaan anti-perkauman membanjiri jalan-jalan di bandar seperti London, Bristol, Brighton, Birmingham, Liverpool, Hastings dan Walthamstow.

Penunjuk perasaan anti-perkauman membawa plakad yang tertera dengan kata-kata seperti " Smash fascism & racism", " Refugees welcome. Stop the far-right" dan " Love, not hate". Di Brighton, hanya sebilangan kecil penunjuk perasaan sayap kanan hadir dan didominasi oleh kumpulan besar anti-perkauman.

Perkembangan terbaharu ini memberi kelegaan kepada UK selepas beberapa hari protes sayap kanan yang menyasarkan umat Islam dan populasi imigran secara umum melanda negara itu.

Protes itu menyebabkan kecederaan terhadap pegawai polis, kedai-kedai dirompak dan hotel yang menempatkan pencari suaka diserang.

Lebih 100 perusuh didakwa atas kekacauan itu. Pada Rabu, tiga lelaki dipenjara, dengan seorang daripadanya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

 

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan