AM

Pengukuhan Komuniti ASEAN Ke Arah Rantau Berdaya Tahan - Mohamad Alamin

08/08/2024 06:36 PM

SEPANG, 8 Ogos (Bernama) -- Pengukuhan komuniti ASEAN adalah penting kearah pembentukan rantau yang berdaya tahan dan kesalinghubungan, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata kepada Malaysia yang akan menjadi pengerusi ASEAN tahun depan, disandarkan harapan agar dapat menerajui usaha dalam memperkukuh ASEAN melewati 2025. 

Mohamad berkata tahun Malaysia menjadi pengerusi ASEAN merupakan tempoh waktu yang cukup istimewa bagi perkumpulan negara Asian Tenggara itu kerana ketika itu menandakan cukup tempoh satu dekad penubuhan Komuniti ASEAN secara rasmi.

"Pengukuhan ASEAN adalah dalam perpaduan dan kepelbagaian. Cabaran pada masa hadapan memang ketara (tetapi) apa yang penting ialah sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia perlu mengukuhkan komuniti ASEAN.

“Sekiranya kita berada dalam kedudukan yang kukuh, kita boleh tampil dengan pelbagai penyelesaian dan tindakan yang lebih baik,” katanya kepada media selepas sambutan Hari ASEAN ke-57 dengan kerjasama AirAsia, di sini hari ini.

Pada 2015, 10 pemimpin negara anggota ASEAN menandatangani deklarasi untuk penubuhan rasmi Komuniti ASEAN di Kuala Lumpur, sebagai langkah penting bagi integrasi serantau.

Mengenai persediaan untuk Malaysia mengambil alih kedudukan sebagai pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 daripada Laos, Mohamad berkata persiapan berjalan lancar, penglibatan dilaksanakan secara aktif, melibatkan semua kementerian, agensi kerajaan, perwakilan diplomatik, organisasi antarabangsa serta media.

“Tahun depan ASEAN juga akan menerima pakai Wawasan Komuniti ASEAN 2045 yang dicadangkan oleh Malaysia, yang akan menetapkan hala tuju strategik jangka panjang untuk 20 tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Penerbangan AirAsia Bo Lingam berkata syarikat penerbangan itu berbangga dalam memperjuangkan visi Komuniti ASEAN untuk mewujudkan pasaran tunggal dan pangkalan pengeluaran.

Beliau berkata ini akan membantu dari segi kos dengan menampilkan standard yang sama - satu sistem kawalan trafik udara, satu sistem kejuruteraan, dasar langit terbuka dan pemilikan bersama.

"Memandang jauh ke hadapan, kami menyasarkan untuk mengalu-alukan ketibaan 75 juta pelawat menggunakan perkhidmatan kami tahun ini, dengan separuh daripada pelancong dijangka datang dari rantau ASEAN," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan