DUNIA

Ringgit Ditutup Mengukuh Berbanding Dolar AS

08/08/2024 07:26 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Ringgit melantun semula dan mengakhiri urus niaga Khamis dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu oleh kelemahan mata wang negara maju itu selain penyusutan hasil nota Perbendaharaannya.

Pada 6 petang, ringgit meningkat ke paras 4.4710/4750 berbanding dolar AS daripada 4.4950/5010 pada penutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, ringgit terus mendapat momentum sokongan di tengah-tengah kebimbangan terhadap ekonomi AS.

“Peningkatan nilai ringgit juga seiring dengan kejatuhan Indeks Dolar AS (DXY). Malah, kemungkinan kenaikan kadar faedah di AS akan merapatkan lagi jurang kadar faedah antara Kadar Dana Persekutuan dan Kadar Dasar Semalaman (Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes pula menyifatkan kelemahan dolar AS menjadi petunjuk tarikannya sebagai aset selamat kian suram walaupun dalam senario sentimen ketidaktentuan yang berterusan.

"Sentimen pasaran juga menunjukkan sekiranya pasaran AS terus tidak menentu, kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) melaksanakan pengurangan sehingga 50 mata asas juga ketara yang hanya memihak kepada strategi melepaskan pegangan dolar AS,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.6661/6712 daripada 5.7122/7199 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8859/8903 daripada 4.9054/9119 sebelum ini.

Namun, mata wang tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.0590/0619 daripada 3.0464/0509 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3746/3779 daripada 3.3853/3901 semalam dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.79/7.81 daripada 7.81/7.83.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding baht Thailand kepada 12.6382/6545 daripada 12.5999/6230 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 281.2/281.6 daripada 280.2/280.8.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan