DUNIA

Pembubaran Mfp: Kementerian Luar Thailand Seru Semua Pihak Hormati Keputusan Mahkamah

08/08/2024 10:20 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 8 Ogos (Bernama) -- Kementerian Luar Thailand (MFA) menyeru semua pihak dan rakyat Thailand supaya menghormati keputusan Mahkamah Perlembagaan untuk membubarkan Parti Move Forward (MFP).

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan jurucakap MFA Nikorndej Balankura berkata keputusan pembubaran MFP adalah dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Perlembagaan, berdasarkan undang-undang dan perlembagaan yang telah ditetapkan.

"Selaras dengan prinsip pegasingan kuasa di bawah perlembagaan, perbincangan Mahkamah tidak boleh tertakluk kepada campur tangan oleh mana-mana entiti lain mahupun kerajaan. Keputusan itu adalah mengikat di sisi undang-undang dan mesti dihormati oleh semua rakyat Thailand," katanya dalam satu klip video pada Khamis.

Mahkamah Perlembagaan Thailand pada Rabu (7 Ogos) memutuskan untuk membubarkan MFP dan membatalkan hak pemilihan ahli jawatankuasa eksekutifnya selama 10 tahun kerana cuba menggugat demokrasi berperlembagaan melalui sokongan terhadap kempen utama untuk meminda Seksyen 112 Kanun Jeneyah, yang juga dikenali sebagai undang-undang “lese majeste”.

Selain pembubaran, mahkamah telah mengenakan larangan berpolitik selama 10 tahun kepada 11 eksekutif parti MFP yang memegang jawatan antara 25 Mac 2021 hingga 31 Julai 2024.

Nikorndej berkata Thailand akan terus mematuhi nilai demokrasi yang termaktub dalam perlembagaannya, dan sebagai pihak dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, Thailand mengulangi komitmennya terhadap hak kebebasan bersuara, kebebasan berpersatuan, perhimpunan aman, dan kebebasan untuk menubuhkan parti politik.

Beliau juga berkata Thailand akan meneruskan tradisi dan sistem demokrasinya dengan penuh kebanggaan dan maruah.

"Kami amat percaya bahawa semua rakyat Thailand akan menghormati keputusan mahkamah dan bersama-sama maju ke hadapan untuk memajukan negara mengikut landasan demokrasinya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan