DUNIA

OIC Sokong Pendirian Malaysia Kutuk Kekejaman Israel Terhadap palestin, Iran

09/08/2024 12:04 AM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sepakat dengan pendirian Malaysia untuk mengecam sekeras-kerasnya serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin dan pencerobohan serta ancaman Israel terhadap kedaulatan Iran. 

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Kementerian Luar Negeri berkata Menterinya Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan pendirian Malaysia semasa menghadiri Mesyuarat Tergempar Jawatankuasa Eksekutif Peringkat Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah, Arab Saudi pada Rabu. 

"Menteri itu turut menggesa Negara Anggota OIC supaya tidak terperangkap dengan cubaan pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba menggagalkan proses rundingan damai di Gaza.

"Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan dan komitmen jitu negara dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa," menurut kenyataan itu. 

Dalam mesyuarat itu, Malaysia mencadangkan empat langkah utama untuk menyokong perjuangan Palestin, termasuk mewujudkan satu Kumpulan Pakar bagi membantu menggerakkan tindakan susulan sewajarnya untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Kedua, Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengaktifkan semula Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Apartheid. 

Ketiga, Malaysia mencadangkan agar OIC menerajui pelaksanaan Pendapat Nasihat ICJ melalui Sesi Khas Tergempar Ke-10 berkenaan isu Palestin di Perhimpunan Agung PBB, bersama-sama dengan Negara-Negara Sepemikiran; dan

Keempat, Malaysia mencadangkan agar OIC memperluas sokongan untuk membantu membina semula ekonomi dan kehidupan rakyat Palestin pascakonflik. 

Mohamad membentangkan langkah-langkah yang dicadangkan semasa menyampaikan kenyataan negara semasa mesyuarat tergempar yang diadakan oleh OIC. 

Mesyuarat tergempar itu yang diusulkan oleh Palestin dan Iran, membincangkan jenayah Israel terhadap rakyat Palestin dan pencerobohannya terhadap kedaulatan Iran. 

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Gambia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak OIC ke-15. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan