DUNIA

Bursa Malaysia Dibuka Meningkat, Indeks Utama Kembali Ke Paras 1,600

09/08/2024 09:58 AM

Oleh S Kisho Kumari

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan lebih positif apabila indeks petunjuk utama kembali ke paras 1,600, kata peniaga.

Prestasi bursa itu menjejaki peningkatan semalaman Wall Street susulan pengumuman data tuntutan pengangguran Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik apabila mengatasi jangkaan awal.

Beliau berkata tuntutan awal untuk manfaat pengangguran negeri di AS berkurangan sebanyak 17,000 kepada jumlah laras secara bermusim 233,000 untuk minggu berakhir pada 3 Ogos, 2024.

Angka itu lebih rendah daripada anggaran awal Dow Jones sebanyak 240,000, sekali gus melegakan ramai di tengah-tengah kebimbangan ketara mengenai kadar pengangguran di AS yang meningkat dan berlakunya kemelesetan.

Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 9.84 mata atau 0.61 peratus kepada 1,600.22 daripada 1,590.38 pada akhir dagangan Khamis.

Indeks itu dibuka naik 10.78 mata pada 1,601.16.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 551 berbanding 59 dengan 168 kaunter tidak berubah, 1,664 tidak didagangkan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 264.19 juta unit bernilai RM137.57 juta.

Prestasi Wall Street menyaksikan Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) naik 683 mata manakala Nasdaq meraih 464 mata dengan hasil nota Perbendaharaan 10 tahun AS ditutup lebih tinggi pada 3.989 peratus.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata tumpuan kini beralih kepada pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Rabu depan.

“Walaupun Wall Street meningkat, kami menjangkakan sentimen di bursa tempatan akan kekal berhati-hati menjelang hujung minggu ini," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan indeks itu bergerak dalam julat 1,590-1,600 hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing naik empat sen kepada RM10.18 dan RM14.04, Public Bank menokok dua sen kepada RM4,24, CIMB naik enam sen kepada RM7.36 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.19. 

Kaunter aktif turut menyaksikan aliran menaik dengan Cape EMS dan KGW masing-masing mengukuh dua sen kepada 49.5 sen dan 27 sen. ATA IMS naik lima sen kepada 43.5 sen, Nova MSC mengukuh 1.5 sen kepada 20 sen dan Siab Holdings meningkat satu sen kepada 14.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 110.82 mata kepada 12,181.48; Indeks FBMT 100 susut 100.38 mata kepada 11,822.36; Indeks FBM 70 melonjak 252.36 mata kepada 17,691.89; Indeks FBM ACE naik 116.54 mata kepada 5,315.93 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 123.21 mata kepada 12,312.95.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 87.82 mata kepada 18,107.43; Indeks Tenaga naik 11.25 mata kepada 921.17; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.21 mata kepada 180.24; Indeks Perladangan meraih 14.09 mata kepada 7,051.73, namun Indeks Teknologi berkurangan 1.56 mata kepada 70.40.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan