AM

Kod Etika AIGE Dilancarkan Sebelum Akhir Tahun Ini - Chang

09/08/2024 01:35 PM

GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan melancarkan kod etika bagi pembangunan dan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) atau Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIGE) selewat-lewatnya sebelum akhir tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pembangunan kod etika oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Digital itu kini di peringkat akhir sebelum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"AIGE sudah pun di peringkat terakhir dan sedikit sahaja lagi untuk fine-tuning. Dalam akhir tahun ini kita lancarkan sebab rangka masa adalah pada tahun ini.

"Kami juga sedang dapatkan tarikh untuk Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau Timbalan Perdana Menteri untuk lancarkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hab Pendidikan AI Pulau Pinang di Tech Dome Penang, Komtar di sini hari ini.

AIGE ialah rangka kerja untuk menetapkan parameter bagi pengguna AI dalam industri dan kod etika itu sebagai langkah pengawalseliaan pembangunan serta adaptasi teknologi AI yang bertanggungjawab.

Sementara itu, Chang berkata Malaysia kini menerima pelaburan besar daripada beberapa syarikat teknologi dalam AI termasuk Microsoft yang mengumumkan pelaburan sebanyak RM10.48 bilion selain TikTok, ByteDance merancang melabur kira-kira RM10 bilion.

Selain itu, beliau berkata syarikat gergasi dunia NVIDIA akan mewujudkan pusat data yang menggunakan unit pemprosesan grafik (GPU) dengan tenaga pengkomputeran yang tinggi sekali gus akan merangsang pembangunan AI di negara ini.

"Minggu ini, Vantage Data Centres mengumumkan pembinaan pusat data terbesar di Asia Pasifik yang terletak di Cyberjaya. Kampus ini dijangka dapat menampung pelaksanaan 'cloud' dan AI serta menyokong teknologi penyejukan cecair untuk menyokong kepadatan kuasa tinggi dan aplikasi intensif data," katanya.

Beliau menyifatkan pelaburan itu akan membawa pemindahan teknologi yang signifikan, membantu Malaysia dalam pembangunan infrastruktur dan bakat serta kelebihan kedudukan strategik Malaysia membuatkan negara semakin dikenali sebagai hab serantau pusat data.

Hab Pendidikan AI Pulau Pinang hasil kerjasama antara MOSTI dan kerajaan negeri Pulau Pinang serta disokong oleh 13 organisasi ternama yang membentuk Konsortium Pendidikan Kecerdasan Buatan dengan Intel memainkan peranan sebagai Penasihat Teknikal untuk bagi hab berkenaan.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan