JENAYAH & MAHKAMAH

Menulis Berita Spekulasi Bukan Amalan Baharu Dalam Kewartawanan- Johan Jaaffar

10/08/2024 01:14 AM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Menulis berita berbentuk spekulasi bukan baharu dalam amalan kewartawanan dan laporan yang mendakwa Bukit Aman sedang merancang rombakan besar-besaran pada peringkat pimpinan tertinggi pasukan oleh Malaysiakini, disifatkan tidak berniat jahat mahupun berunsur fitnah.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar berkata wartawan membuat laporan berbentuk spekulasi hampir tentang semua isu, termasuk kemungkinan rombakan kabinet atau perubahan pimpinan korporat.

“Saya secara peribadi tidak melihat laporan dalam Malaysiakini itu berniat jahat atau berunsur fitnah. Secara jujur saya menganggap polis Malaysia masih dihormati dan disanjung tinggi dan rakyat masih prihatin terhadap mereka.

“Mungkin minat yang besar terhadap pasukan polis mendorong wartawan berkenaan menulis laporan tersebut dan saya menganggapnya sebagai komplemen bagi pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan polis memanggil tiga wartawan portal itu hari ini bagi memberi keterangan berhubung laporan yang mendakwa Bukit Aman sedang merancang melakukan rombakan besar-besaran pada peringkat pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Johan berpandangan laporan tersebut tidak sepatutnya mendapat tindak balas sedemikian daripada pihak polis.

Beliau berkata wartawan sepatutnya boleh menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih, kerana media bebas adalah teras sebuah demokrasi yang berfungsi.

Pada Selasa, sebuah portal berita tempatan melaporkan sumber memaklumkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dipercayai akan dipindahkan ke agensi lain.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan