AM

Semua Kementerian Kumpul Data Prestasi Ekonomi MADANI

10/08/2024 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Semua kementerian akan mengumpulkan data prestasi atau pencapaian selari kerangka Ekonomi MADANI yang telah dilancarkan pada Julai tahun lepas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata data berkenaan dijangka dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada minggu depan.

“Hasil lebih kurang setahun ini, Insya-Allah akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan (data prestasi atau pencapaian) bagi makluman kepada semua dan sebagai rakyat biasa kita mampu lihat bahawa usaha (Kerajaan Perpaduan) selama lebih setahun ini membuahkan hasil.

“Pelaburan telah meningkat berbanding tahun lalu. Laporan menunjukkan jumlah syarikat yang disenaraikan Malaysia bagi setengah tahun pertama ini, jauh lebih tinggi berbanding beberapa negara Asia Tenggara. Kita lihat nilai mata wang ringgit telah mengukuh, setakat semalam Ringgit berbanding US dollar pada paras 4.415 dan kita juga tahu inflasi kekal rendah,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.

Pada 27 Julai 2023, Perdana Menteri melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, kerangka ekonomi baharu Malaysia yang bertujuan mengangkat semula darjat dan martabat negara.

Ia juga bagi menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan negara ini sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu.

Ditanya sama ada pembatalan rancangan pembuat kenderaan elektrik (EV) Tesla membuka kilang di Malaysia akan memberi kesan kepada perkhidmatan satelit Starlink yang dikendalikan SpaceX, Fahmi berkata ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan itu sebaliknya Starlink masih beroperasi seperti biasa.

Sebelum ini dilaporkan, Tesla membatalkan rancangan untuk membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia dan syarikat itu dijangka hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan