POLITIK

Ramasamy Dilantik Pengerusi MIC Perak Ganti Elango

10/08/2024 07:05 PM

SUNGAI SIPUT, 10 Ogos (Bernama) -- Bendahari Agung MIC Tan Sri M. Ramasamy dilantik sebagai Pengerusi MIC Perak menggantikan Datuk V. Elango bagi penggal 2024-2027.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata Ramasamy bukan watak baharu dalam parti itu malah berpengalaman luas dalam arena politik di Perak termasuk pernah menyandang jawatan pengerusi sewaktu era kepimpinan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

“Saya rasa pelantikan ini akan menguatkan lagi sokongan ahli parti dan pada masa yang sama dapat menarik sokongan ahli baharu terutama dalam kalangan belia bagi menyokong parti ini.

“Bagi Datuk Elango pula, kita akan beri satu tugas penting kepada beliau dan ia lebih membabitkan bidang kuasa parti di peringkat pusat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen MIC Perak 2024 di Pusat Konvensyen Tun S. Samy Vellu di sini hari ini.

Terdahulu, Ramasamy menerima watikah pelantikan daripada Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran dalam konvensyen yang dihadiri lebih 500 perwakilan dan ahli parti itu.

Sementara itu, Saravanan berkata MIC menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang mahu kestabilan negara diperkukuhkan tanpa diganggu gugat oleh mainan politik pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata titah berkenaan akan dijadikan sebagai dokongan bagi memastikan MIC kekal relevan dalam membela nasib kaum India di negara ini.

“Kita akui buat masa ini, MIC berdepan cabaran penuh liku dalam memastikan parti ini terus relevan dan menjadi pilihan untuk membela nasib kaum India. Jadi, dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu kerajaan ini terus stabil, kami dengan rela hati menyokong penuh kerajaan demi memastikan tiada sebarang polemik politik berlaku,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan