AM

MBM Dekati Belia Melalui Jelajah Reach Out Community

10/08/2024 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Majlis Belia Malaysia (MBM) akan menganjurkan jelajah ‘Reach Out Community’ bermula minggu depan hingga Disember ini untuk memberikan penerangan khusus berkaitan isu semasa kepada golongan belia.

Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata jelajah itu disasar diadakan di sekurang-kurangnya 50 daerah di Semenanjung Malaysia agar dapat memberikan penjelasan tentang pindaan had umur belia yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026.

Beliau berkata had umur sekarang ialah 40 tahun namun selepas Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta A1602) dikuatkuasakan, ia ditetapkan pada 30 tahun.

“Walaupun sedikit sukar kerana kebanyakan belia berumur 18 hingga 25 tidak berada di sesuatu kawasan, mungkin belajar atau bekerja, namun cabaran itu yang perlu kita hadapi.

“Kita juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana memberikan sokongan dana sebanyak RM5 juta tahun ini untuk membantu pentadbiran MBM selain tambahan peruntukan RM3 juta seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim."

“Insya-Allah, dana ini akan digunakan untuk kepimpinan MBM mendapatkan input pembangunan yang dihasratkan oleh belia agar selari dengan Visi MBM 2048,” katanya kepada pemberita pada Majlis Tayangan Perdana Dokumentari Jubli Intan MBM di sini hari ini. 

Tayangan dokumentari itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam iaitu bekas Presiden MBM kesembilan.

Mohd Izzat Afifi juga berkata dokumentari hampir sejam itu menceritakan pelbagai cabaran ditempuh MBM sepanjang 76 tahun penubuhannya dan perjuangan bekas pemimpin majlis berkenaan dalam melahirkan belia yang berwawasan demi pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan