AM

Nanta Harap Program Kampung Angkat MADANI Diteruskan

11/08/2024 02:53 PM

KAPIT, 11 Ogos (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dapat diteruskan ada masa akan datang.

Ini katanya supaya kawasan-kawasan lain dapat menikmati pembangunan hasil perlaksanaan program tersebut.

"Kalau masih ada tahun depan ataupun tahun kemudiannya kita akan bawa ke kawasan-kawasan yang lain sebab di kawasan Parlimen saya (Kapit) ada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

"Kali ini kita pilih di kawasan DUN Katibas di daerah Song ini. Kalau ada tahun depan saya akan berunding dengan ADUN Bukit Goram dan ADUN Pelagus untuk mengenal pasti perkampungan yang hendak dilaksanakan program itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada dua kontraktor yang terpilih untuk mengendalikan projek Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Kerja Raya (KKR) di Song hari ini.

KKR telah memilih Perkampungan Nanga Engkuah di Ulu Katibas, Song untuk perlaksanaan projek itu di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Nanga Engkuah merupakan perkampungan tiga rumah panjang di kawasan pedalaman terletak lebih kurang 50 kilometer dari Pekan Song dan hanya boleh diakses melalui jalan sungai yang mengambil masa 3 jam.

Rumah panjang di kampung tersebut ialah Rumah Assan, Rumah Radiah dan Rumah Albert Lajong dengan jumlah penduduk seramai 658 orang.

Menurut Nanta lima projek fizikal merangkumi pembinaan jambatan pejalan kaki, pemasangan lampu solar, menaik taraf pondok menunggu di jeti dan menaik taraf laluan pejalan kaki yang menghubungkan tiga rumah panjang, akan dilaksanakan oleh dua kontraktor iaitu Syarikat Bumi Mas dan Syarikat Smartech Resources dengan keseluruhan kos berjumlah RM4 juta dalam tempoh 12 bulan bermula bulan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan