EKONOMI

Kerajaan Laksana Inisiatif Sokong Syarikat Pemula Tempatan - PM Anwar

12/08/2024 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melaksanakan pelbagai inisiatif dan program untuk menyokong syarikat pemula tempatan dan memupuk persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan mereka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Perdana Menteri berkata inisiatif itu termasuk kemudahan pembiayaan, khidmat nasihat dan akses pasaran. 

Beliau berkata hasilnya, kini Kuala Lumpur antara 30 ekosistem teratas dalam kategori ekosistem membangun dalam Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2024. 

“Menurut Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023, Malaysia masih mengekalkan kedudukannya pada tangga ke-36 daripada 132 negara dengan peningkatan skor keseluruhan kepada 40.9 berbanding tahun 2022 (38.7). 

“Ini sekali gus menjadikan Malaysia negara kedua paling inovatif selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan menengah tinggi,” kata beliau ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan GSER 2024, ekosistem syarikat pemula di Kuala Lumpur telah menjana lebih RM220 bilion (US$47 bilion) dalam nilai ekosistem dari 1 Julai 2021 hingga 31 Dis 2023.

Di peringkat ASEAN, Anwar berkata Malaysia kekal berada di tempat kedua melalui inisiatif yang dilaksanakan menerusi MRANTI, khususnya Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara (NTIS).

Menurut beliau, NTIS telah berjaya mengkomersialkan 32 produk atau penyelesaian dengan penjanaan hasil jualan sebanyak RM88.4 juta, menubuhkan 13 tapak sandbox dan mewujudkan 62 rakan rangkaian pemajuan inovasi, hanya dalam tempoh tiga tahun ia diperkenalkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan