DUNIA

Bursa Malaysia ditutup tinggi, Indeks Komposit kekal di atas paras 1,600

12/08/2024 07:05 PM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya hari ini melepasi paras psikologi 1,600 di tengah-tengah sentimen pasaran global yang bertambah baik, kata seorang penganalisis. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.66 peratus atau 10.61 mata kepada 1,606.66 daripada paras penutup 1,596.05 pada Khamis. 

Indeks utama dibuka tinggi naik 2.48 mata kepada 1,598.53, mencecah paras intra hari tertinggi pada 1,609.57 pada sesi dagangan awal pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 646 berbanding 406, dengan 522 kaunter tidak berubah, 868 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 4.01 bilion unit bernilai RM2.931 bilion daripada 4.19 bilion unit bernilai RM2.93 bilion.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau kebanyakannya ditutup positif dengan para pelabur menumpu kepada data ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pertumbuhan global. 

Beliau berkata laporan indeks harga pengguna AS pada Rabu penting kepada Rizab Persekutuan AS (Fed AS) memandangkan ahli ekonomi menjangkakan kenaikan inflasi keseluruhan dan juga inflasi teras manakala pelabur di China menjangkakan lebih banyak rangsangan untuk menyokong ekonomi negara itu.  

“Bagi bursa tempatan, kami optimis ekuiti Malaysia akan bergerak daripada fasa penstabilan menuju ke paras 1,620 buat masa ini sehingga pemangkin baharu muncul. 

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,590-1,620 bagi minggu ini,” kata Thong kepada Bernama. 

Sementara itu, ketua penyelidikan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pasaran kini menjadi lebih stabil manakala kemeruapan semakin berkurangan. 

Bagaimanapun, jumlah dagangan rendah sedikit daripada purata 4.28 bilion saham setiap hari apabila para peniaga dijangka enggan mengambil langkah seterusnya menjelang pengumuman data inflasi AS lewat minggu ini. 

Beliau berkata para pelabur akan memantau rapat pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2024 Malaysia, serta petunjuk ekonomi utama di AS pada minggu ini.

Sementara itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, CelcomDigi dan Maxis meningkat 12 sen setiap satu masing-masing kepada RM3.77 dan RM3.54, YTL Power naik 11 sen kepada RM4.46, YTL Corporation menokok  7.0 sen kep RM3.31, Hong Leong Bank menambah 32 sen kepada RM19.46 dan CIMB menambah 6.0 sen kepada RM7.36. 

Dalam kalangan kaunter paling cergas, Cape EMS turun 1.5 sen kepada 50.5 sen, Barakah Offshore Petroleum naik 2.5 sen kepada 7.5 sen, Velesto meningkat setengah sen kepada 21 sen, manakal Hubline dan MYEG kedua-duannya tidak berubah masing-masing pada 8.5 sen dan 91.5 sen. 

Dalam kalangan kaunter untung utama, Dutch Lady Milk Industries naik RM1.40 kepada RM31.64, Nestle melonjak 50 sen kepada RM110.00, PIE meningkat 28 sen kepada RM5.80 dan MPI naik 22 sen kepada RM37.32.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 80.05 mata kepada 12,255.22, Indeks FBMT 100 naik 77.17 mata kepada 11,884.76, Indeks FBM 70 melonjak 110.75 mata kepada17,839.74, Indeks FBM ACE meningkat 69.62 mata kepada 5,447.28 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 73.85 mata kepada 12,402.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 117.66 mata kepada 18,171.49, Indeks Tenaga naik 4.77 mata kepada 926.41, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.23 mata kepada 181.52, Indeks Perladangan menambah 39.63 mata kepada 7,113.55 dan Indeks Teknologi naik 0.58 mata kepada 71.71.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.50 bilion unit bernilai RM2.58 bilion daripada 2.42 bilion unit bernilai RM2.53 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran susut kepada 924.40 juta unit bernilai RM123.04 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM147.18 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 580.17 juta saham bernilai RM208.50 juta daripada 662.41 juta saham bernilai RM247.55 juta pada Jumaat minggu lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 382.00 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (549.35 juta), pembinaan (221.88 juta), teknologi (242.66 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (89.18 juta), hartanah (279.16 juta), perladangan (19.76 juta), REITs (11.46 juta), dana tertutup (39,800), tenaga (336.95 juta), penjagaan kesihatan (62.01 juta), telekomunikasi dan media (46.77 juta), pengangkutan dan logistik (177.59 juta), utiliti (90.71 juta) dan amanah perniagaan (198,300).

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan