AM

Lebih 3,000 Usahawan Desa Dilatih Menerusi Program Pendigitalan

12/08/2024 05:17 PM

KUCHING, 12 Ogos (Bernama) -- Seramai 3,249 usahawan desa telah dilatih menerusi Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) sejak ia dilaksanakan tiga tahun lepas.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata 6,000 produk usahawan desa juga telah dimasukkan ke dalam rekod sistem dagang kementerian itu iaitu Desamall bagi meningkatkan pendapatan usahawan melalui pemasaran dalam talian.

Beliau berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM20 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk melatih 4,000 usahawan desa menerusi PPU.

Rubiah turut menggalakkan usahawan desa mengambil peluang inisiatif program Alibaba Cloud di Malaysia yang dapat membantu membangunkan model kecerdasan buatan (AI) lebih kecil dan sesuai dengan  perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

"Alibaba Cloud telah melancarkan Program Pemecutan Digital dengan tiga inisiatif utama yang bertujuan memacu penggunaan kecerdasan buatan (AI) di negara ini," katanya selepas merasmikan PPU di sini hari ini.

Beliau berkata antara inisiatif utama yang ditekankan merangkumi latihan dan pembiayaan untuk syarikat pemula pendigitalan, jalinan kerjasama dengan universiti dan model studio untuk pembangunan AI generatif.

Dalam pada itu, Rubiah berkata sehingga kini, 67,508 usahawan desa sudah berdaftar dengan agensi di bawah KKDW di seluruh negara dan kebanyakan mereka di bawah kategori PICO atau yang memperoleh pendapatan jualan kurang RM60,000 setahun.

Beliau berkata sekiranya pendapatan jualan usahawan berkenaan dapat ditingkatkan hingga melebihi RM150,000 setahun, maka mereka akan dikategorikan sebagai usahawan kecil dan sederhana.

"Sebab itulah kita mengadakan program PPU untuk memastikan daya saing usahawan kita dapat ditingkatkan menerusi latihan pendigitalan selain bantuan pembiayaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan