AM

Orang Ramai Diminta Rujuk Buku Panduan JaPen Mengenai Tatacara Betul Kibar Jalur Gemilang

12/08/2024 06:01 PM

KOTA BHARU, 12 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) meminta orang ramai merujuk buku panduan berjudul 'Bendera Kita Jalur Gemilang' keluaran jabatan berkenaan bagi mengetahui tatacara untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul.

Pengarah Kanan (Pengurusan) JaPen Naim Fahmi Ahmad Tajuddin berkata panduan tatacara berkenaan juga boleh didapati di semua platform media sosial JaPen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan juga X.

Beliau berkata panduan tatacara untuk mengibarkan Jalur Gemilang sangat penting bagi menghormati bendera negara, sekali gus mengelak berlaku kesilapan dalam pemasangannya yang boleh menyentuh sensitiviti.

“Buku panduan ini mengandungi maklumat diuar-uarkan di semua platform, kita maklumkan cara untuk menggantung Jalur Gemilang termasuk bagi jenis banting, berbentuk segi tiga dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Dataran Wawasan Datuk Azis Yacub, Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarah JaPen Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim.

Semalam media melaporkan polis menahan seorang warga emas bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis bangunan, di Jalan Dato Sagor, Kuala Kangsar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan