AM

RM36,000 Jadi Rebutan Sempena Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2024 Negeri Perak

12/08/2024 04:54 PM

IPOH, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perak dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JaPen) Perak menawarkan hadiah RM36,000 bagi penganjuran Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan 2024 tahun ini.

Pengarah JaPen Perak Yosri Abu Mahsin berkata pertandingan yang dibuka pendaftarannya pada 28 Julai sehingga 10 Ogos itu merangkumi enam kategori iaitu individu, pintu gerbang, kampung dan taman perumahan, sekolah rendah, sekolah menengah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Setakat ini kita telah menerima lebih 140 penyertaan untuk kesemua enam kategori tersebut dan peserta yang telah berdaftar perlu menghantar gambar hiasan kepada pihak urus setia sebelum 16 Ogos,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Yosri berkata penilaian akhir peringkat negeri akan bermula 22 hingga 26 Ogos bagi mencari pemenang setiap kategori dipertandingkan.

Beliau berkata penganjuran pertandingan yang saban tahun diadakan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri dan JaPen yang bertujuan memupuk semangat patriotik sekali gus meningkatkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pertandingan itu juga bagi mendorong dan mencetus kreativiti rakyat dalam memartabatkan Jalur Gemilang di negeri Perak,” katanya.

Sementara itu, Yosri berkata bagi menyemarakkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, jabatan itu telah mengagihkan sebanyak 2,000 Jalur Gemilang bagi setiap daerah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata untuk pengagihan potret Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, jabatan dan agensi kerajaan negeri boleh mendapatkan potret tersebut di JaPen Perak mulai 14 Ogos.

“Buat masa ini ia terhad kepada jabatan dan agensi kerajaan untuk cetakan pertama, akan ada cetakan seterusnya selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan