EKONOMI

Petronas Lancar Program Sokongan Pembekal Untuk Amalan Lestari OGSE

12/08/2024 07:36 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah melancarkan program sokongan pembekal (PSSP) untuk menggalakkan pembekal perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia mengamalkan prinsip kelestarian.

Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Bersama bagi Perubahan Iklim (JC3) program rantaian nilai penghijauan (GVC), Bursa Malaysia Bhd termasuk Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei. 

Syarikat minyak nasional itu melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan objektif PSSP adalah untuk menyediakan alat-alat yang diperlukan, latihan keupayaan serta akses kepada pembiayaan peralihan kepada pembekal OGSE Malaysia bagi meningkatkan penerimaan dan pendedahan amalan kemampanan.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha berkata beliau menyedari cabaran yang dihadapi oleh pembekal OGSE, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, dalam mengamalkan amalan kelestarian yang penting ke arah peralihan tenaga.

“Kami sedang bekerjasama dengan pembekal kami untuk menyokong hanya peralihan yang memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

“PSSP adalah satu pencapaian penting, menyediakan platform bagi industri menunjukkan tindakan praktikal selain memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Petronas akan bertindak sebagai tonggak dalam program GVC, yang mana pembekal akan didedahkan kepada pengetahuan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta program pembinaan kapasiti khusus untuk industri OGSE yang memenuhi keperluan pembekal dari semua peringkat kematangan.

Melalui program tersebut, pembekal turut menerima manfaat daripada platform risikan kelestarian berpusat, yang menyediakan alat bagi membantu perniagaan mengukur, mengurus dan melaporkan pelepasan karbon serta risiko kemampanan mereka.

“(Mereka juga akan mempunyai) akses kepada pembiayaan seperti fasiliti peralihan rendah karbon Bank Negara Malaysia serta kemudahan teknologi tinggi dan hijau untuk menyokong usaha peralihan mereka,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan