AM

ELMU Tawar Program Akademik Penguatkuasaan Undang-undang Penuhi Keperluan Industri

12/08/2024 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) menepis tanggapan bahawa kelayakan dan kerjaya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang di Malaysia hanya terhad kepada sektor kerajaan.

Naib Canselor ELMU Datuk Dr Kassim Noor Mohamed dalam kenyataan hari ini berkata institusi itu menawarkan program akademik dan latihan terkini melangkaui peranan penguatkuasaan undang-undang yang biasa.

"Dalam landskap global yang berkembang pesat hari ini, persepsi bahawa kelayakan dan kerjaya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang di Malaysia hanya terhad di sektor kerajaan adalah lapuk dan mengelirukan. Kurikulum inovatif kami melengkapkan pelajar dengan kemahiran serba boleh yang semakin dicari sektor swasta di negara ini," katanya.

Berdasarkan kajian terkini, sektor swasta di Malaysia mengalami jurang kemahiran yang ketara, terutamanya dalam bidang seperti keselamatan korporat, pengurusan risiko dan pematuhan, katanya.

Kassim berkata peruntukan penguatkuasaan undang-undang ELMU yang menyeluruh direka secara strategik untuk merapatkan jurang, menghasilkan siswazah yang bukan sahaja bersedia untuk menyertai bidang penguatkuasaan, tetapi juga memenuhi keperluan industri.

"Kurikulum ELMU melangkaui kaedah penguatkuasaan tradisional, dengan menggabungkan elemen penting seperti Keselamatan Siber dan Forensik Digital, Penyiasatan Penipuan Korporat, Pengurusan dan Penilaian Risiko, Pematuhan dan Etika, Pengurusan Krisis dan Analisis Perisikan.

"Kemahiran ini mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai industri termasuk kewangan dan perbankan, teknologi maklumat, penjagaan kesihatan, runcit dan e-dagang, pengangkutan dan logistik serta hospitaliti dan pelancongan," katanya.

Beliau berkata ELMU menggalakkan pemikiran kritis dan kebolehan menyelesaikan masalah bermula daripada pengajian peringkat Asasi sehingga Doktor Falsafah (PhD) dalam program Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa, yang penting untuk peranan dalam pengurusan risiko dan penyiasatan korporat.

 "Kemahiran analisis yang diajar dalam program kami sangat bernilai dalam analisis jenayah kewangan dan peranan risikan. Selain itu, kepakaran teknologi yang dibangunkan semasa pengajian membolehkan siswazah mengisi kekosongan penting dalam jawatan keselamatan siber dan forensik digital," katanya.

Kassim berkata ELMU akan terus membina hubungan kukuh dengan organisasi sektor awam dan swasta terkemuka di Malaysia untuk memastikan bahawa kurikulumnya kekal relevan dan siswazah bersedia menempuh alam pekerjaan.

ELMU menerima kelulusan untuk menubuhkan universiti daripada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 8 Feb 2022 dan pengambilan pelajar pertama adalah pada Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan