EKONOMI

Perbincangan utama APEC di Peru: Tenaga, kesihatan, keselamatan makanan jadi tumpuan

12/08/2024 10:30 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Pegawai kanan, menteri dan pakar daripada 21 ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) akan berkumpul di Peru dari 12 hingga 25 Ogos, 2024 untuk membincangkan isu ekonomi yang mendesak dan penting bagi kemakmuran rantau ini.

Menurut kenyataan pada Isnin, Sekretariat APEC menjelaskan kalangan mereka juga akan mempertimbangkan beberapa dasar berkenaan keselamatan makanan, kemampanan tenaga, penambahbaikan kesihatan awam, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan.

Pertemuan itu akan berlangsung menerusi Mesyuarat Menteri Tenaga kali ke-14 pada 15 dan 16 Ogos; Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Kesihatan dan Ekonomi kali ke-14 pada 18 Ogos di Lima, ibu negara Peru; di samping Mesyuarat Menteri Keselamatan Makanan APEC pada 19 Ogos di Trujillo, sebuah bandar pinggir laut di barat laut Peru.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2024 Duta Besar Carlos Vasquez berkata semua negara anggota perlu terus memperkukuh kerjasama dalam menangani isu keselamatan makanan, tenaga, kesihatan dan daya tahan ekonomi.

“Ekonomi kalangan anggota telah memperoleh manfaat daripada usaha perdagangan bebas dan pelaburan APEC selama 35 tahun lepas,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata Peru mempunyai 14 perjanjian perdagangan bebas dengan ekonomi-ekonomi APEC.

Vasquez juga mengulangi anggota APEC perlu bersatu dan melaksanakan tindakan untuk memastikan Asia-Pasifik kekal sebagai rantau paling dinamik dengan pertumbuhan mampan dan inklusif, melonjakkan dan menjamin kemakmuran seluruh warganya.

Penekanan itu disuarakan beliau susulan menyedari pelbagai cabaran dan ketidaktentuan yang dihadapi ekonomi APEC.

Menurut Sekretariat APEC, Mesyuarat Menteri Tenaga kali ke-14 akan menumpukan pada usaha menggalakkan peralihan tenaga bersih, kecekapan tenaga dan ketersambungan tenaga serantau.

Mesyuarat Peringkat Tinggi mengenai Kesihatan dan Ekonomi kali ke-14 pula akan meneliti interaksi antara sistem kesihatan dan kestabilan ekonomi khususnya berikutan cabaran kesihatan global terkini.

“Di Trujillo, Minggu Makanan, yang merangkumi Mesyuarat Menteri Keselamatan Makanan dari 12 hingga 18 Ogos, akan mengetengahkan penyelesaian inovatif dan kerjasama serantau dalam sektor makanan.

“Penekanan akan diberikan kepada keselamatan makanan dan pengurangan kehilangan makanan sepanjang rantaian bekalan, daripada pascatuai sehingga penggunaan,” tambahnya.

Awal bulan ini, pemimpin perniagaan dari rantau Asia-Pasifik bertemu di Tokyo, Jepun, untuk mesyuarat Majlis Penasihat Perniagaan APEC dan menyeru langkah yang lebih besar untuk meningkatkan perdagangan bebas, pendigitalan dan tindak balas iklim.

Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC Rebecca Sta Maria berkata forum APEC terus menjadi platform penting untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, kerjasama dan perdagangan dalam rantau Asia-Pasifik.

Beliau berkata dalam landskap global yang berubah dengan pantas masa kini, usaha kolektif ekonomi APEC menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

Hasil daripada semua mesyuarat itu bukan sahaja akan mempengaruhi rantau ini malah juga mempunyai implikasi global, terutama apabila APEC bersedia untuk Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC pada November, katanya dalam kenyataan yang sama.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan