FOKUS BERNAMA

Syed Razuan Tinggalkan Dunia Glamor, Pilih Jadi Penternak Moden

13/08/2024 09:41 AM
Daripada Rozlin Rusharmeen Rosmin

Dari seorang perunding imej kepada penternak kambing dan lembu sepenuh masa, begitulah keputusan nekad Syed Razuan Ali, 46, untuk mencuba nasib, berbekalkan minat yang kini ternyata membuahkan hasil.

Anak jati Kampung Semariang yang terletak sekitar sembilan kilometer dari bandar Kuching ini  bermula sebagai orang tengah sekitar tahun 2003 untuk menjual kambing dan lembu dengan menggunakan kaedah pemasaran menerusi risalah yang diedarkan kepada orang ramai selepas solat Jumaat.

Daripada sebuah kandang kecil yang boleh memuatkan hanya 12 ekor lembu dan 25 ekor kambing, kini dia boleh berbangga dengan memiliki ladang berkeluasan kira-kira 1.2 hektar yang boleh menampung lebih 500 ekor haiwan ruminan dengan kambing sebagai ternakan utamanya. 

Selain melihat bidang penternakan sebagai pelaburan untuk jangka masa panjang, Syed Razuan pada masa sama mahu melenyapkan stigma bahawa penternak adalah hanya pekerjaan golongan pencen.

Dia juga turut mengambil inisiatif memperkenalkan sistem penjagaan kambing dari ladang miliknya kepada penternak khususnya golongan anak muda sebagai pekerjaan sampingan dengan pendapatan sehingga RM3,000 sebulan bagi 15 ekor kambing. 

“Kita akan ‘pinjamkan’ kambing jantan berusia lebih tiga bulan untuk penternak gemukkan saiz selama tiga bulan menerusi makanan seperti rumput dan pelet, seterusnya kita akan ambil semula dan bayar hasilnya. Selain itu, pilihan kambing betina bunting turut diberikan untuk mereka jaga dan beri makan.

“Sekiranya ternakan itu melahirkan kambing jantan, kita akan ambil dan bayar hasilnya dan sekiranya anak betina, penternak akan manfaatkannya untuk meningkatkan jumlah ternakan di ladang masing-masing,” katanya, ” katanya ketika ditemui Bernama di ladang Syarikat Maju Ternak Albarakah yang terletak di Kampung Sungai Agas Baru, sekitar 21 kilometer dari bandar Kuching.

Dia menambah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut menyediakan suntikan vaksin bagi kambing yang ‘dipinjamkan’ itu. 

 

IDEA TERCETUS SEMASA COVID-19

Menurut Syed Razuan, idea untuk melaksanakan sistem penjagaan kambing itu tercetus sewaktu negara dilanda pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengakibatkan ramai penternak terpaksa gulung tikar dan melelong haiwan mereka. 

Bagi menyelamatkan baka kambing Barbados Blackbelly dan Damara, dia mengambil keputusan membeli ternakan itu sebagai usaha mengembangkan ternakan secara berkumpulan dan meningkatkan jumlah induk. 

pic-2

Bapa kepada 10 orang cahaya mata itu berkata, baka kambing kacukan Barbados Blackbelly, Damara dan Dorper merupakan jenis ternakan pilihannya memandangkan ia cepat membesar dan boleh mencecah berat 30  kilogram pada usia setengah tahun.  

Syed Razuan berkata, sistem yang diamalkannya itu perlu diperluaskan bagi membantu meningkatkan jumlah penternak di Sarawak, sekali gus menjadi antara mekanisme mengurangkan harga kambing hidup di negeri ini yang mencecah RM40 sekilogram manakala dagingnya bernilai RM80 sekilogram.  

“Cara untuk turunkan harga (ternakan) ialah meramaikan bilangan penternak kerana sekarang ini kita tak boleh kawal harga kambing dan lembu kerana jumlah penternak di negeri ini kurang,” katanya yang setakat ini bekerjasama dengan kira-kira 50 penternak tempatan sehingga ke kawasan Sibu. 

Menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar, jumlah ternakan kambing di Sarawak pada tahun 2023 dianggarkan sebanyak 8,941 ekor, berbanding di Semenanjung dan Sabah yang masing-masing mempunyai 303,885 ekor dan 25,535 ekor. 

Berdasarkan data itu juga, ternakan lembu di Sarawak pada tahun lepas (2023) mencatatkan anggaran 13,274 ekor, manakala Semenanjung dan Sabah pula masing-masing 670,909 ekor dan 53,571 ekor. 

Pada Jun lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dipetik berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan langkah bagi mengawal harga jualan beberapa haiwan ternakan tahun depan susulan harga semasanya di Sarawak agak tinggi berbanding negeri-negeri lain. 

 

PERANCANGAN MASA DEPAN

Menyentuh aspek penjagaan ternakan kambing berkualiti, Syed Razuan tidak menggalakkan setiap induk atau ibu kambing bunting lebih daripada empat kali manakala kambing jantan perlulah berusia dua hingga tujuh tahun bagi memastikan anak yang dilahirkan sihat dan bersaiz besar.

Berkongsi perancangan masa depannya, dia turut menggalakkan anak-anaknya menceburi bidang yang sama, selain memasang impian untuk membangunkan kandang ternakan serba canggih di kawasannya seluas 1.4 hektar bagi memuatkan 500 ekor induk kambing dengan kos pembinaan kira-kira RM300,000. 

“Saya jangka dalam tempoh dua tahun kandang ini akan siap dibina dengan fasiliti seperti tempat penyembelihan, dilengkapi penyaman udara dengan setiap kambing ditempatkan di blok masing-masing dan najis ternakan diasingkan bagi pembuatan baja. 

“Oleh itu, saya memerlukan kerjasama serta sokongan pihak kerajaan negeri untuk menjayakan usaha ini sebagai langkah membantu mengembangkan industri penternakan di Sarawak,” katanya menambah, tumpuan utama ternakan di ladang itu melibatkan kambing jenis Barbados dan Damara.

Kandang itu juga akan turut menempatkan haiwan milik penternak luar yang tidak mempunyai ladang dan menyediakan pakej rawatan serta makanan kepada ternakan tersebut.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan