AM

Belanjawan 2025: KPKT Tumpu Aspek Kesejahteraan, Kebajikan Rakyat

13/08/2024 04:40 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengadakan sesi libat urus inisiatif Belanjawan 2025 bersama pemegang taruh dengan menumpukan aspek kesejahteraan, kebajikan rakyat serta meningkatkan ekonomi negara.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata ia dihadiri 443 pemegang taruh terdiri daripada penggiat  industri seperti syarikat pemaju perumahan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, persatuan mewakili komuniti, pihak universiti dan pelbagai agensi kerajaan.

Beliau berkata sesi libat urus itu antara platform penting bagi KPKT untuk mendapatkan idea baharu dan cadangan daripada pemegang taruh bagi inisiatif Belanjawan 2025 yang akan dilaksanakan KPKT agar ia dapat memenuhi jangkaan rakyat.

“Pandangan dan maklum balas pemegang taruh ini akan menjadi input kepada KPKT bagi menghasilkan  cadangan inisiatif Belanjawan 2025 yang komprehensif dan memberi impak positif khususnya kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan selepas sesi libat urus yang diadakan di sini hari ini.

Nga turut berkongsi beberapa fokus utama KPKT iaitu membangun dan memperkasakan peranan kerajaan tempatan, membangun potensi pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara, memperkukuh kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan serta menyasarkan pembinaan 100 Taman Rekreasi Awam MADANI di seluruh negara.

Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan akan dibentang pada 18 Okt depan di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan