AM

Nahas bot karam: Pasukan penyelam jumpa beg milik Aina Husna

14/08/2024 09:30 PM

CHUKAI, 14 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menemukan beg sandang milik salah seorang mangsa nahas bot karam di perairan Kemaman, Aina Husna Mohamad Husaini.

Beg berwarna hitam berisi dua lampu suluh, kipas tangan, alat pengecas telefon, segugus kunci motor dan lampu kepala itu disahkan bakal tunang Aina Husna, 25, iaitu Muhammad Nor Iqbar Shaharuddin, 27.

Turut ditemukan satu pinggan dan sebatang kayu cota yang tersangkut di pukat tunda, namun barang berkenaan disahkan bukan milik Aina Husna ataupun seorang lagi mangsa yang masih hilang, Yusof Kassam, 66.  

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kemaman Muhammad Faisal Abdul Rahim berkata kesemua barangan itu ditemukan di dasar laut pada kedalaman 30 meter (m), kira-kira 120 m dari lokasi bot berkenaan berlabuh.

Beliau berkata penemuan itu dibuat pada selaman kedua oleh sembilan penyelam daripada Skuadron Selam, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia.

"Operasi selaman hari ini berpandukan kepada lokasi yang diberikan oleh tekong, menggunakan bot dilengkapi teknologi untuk mengesan objek di bawah laut,” katanya di Pangkalan Hadapan Carilamat di Zon Maritim Kemaman di sini.

Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) hari ini memasuki hari keempat melibatkan dua bot peronda Maritim Malaysia dan sebuah bot milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan kekuatan 27 pegawai dan anggota.

Dalam kejadian Ahad lepas, sebuah bot nelayan yang membawa sembilan individu termasuk tekong dan kru untuk mencandat sotong dan memancing, karam selepas dilanggar sebuah tongkang ketika berlabuh pada kedudukan tujuh batu nautika atau 13 kilometer dari pantai perairan Kemaman, kira-kira 6.30 pagi. 

Lima daripada sembilan mangsa terselamat, dua ditemukan lemas manakala Aina Husna dan Yusof, masih hilang. 

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kemaman Ariffin Ghazali dalam kenyataan memaklumkan operasi carilamat itu ditamatkan secara rasmi pada hari ini.

"Operasi pencarian dari lokasi kejadian sehingga Kuala Terengganu selama empat hari telah melibatkan aset udara dan laut serta merangkumi keluasan pencarian sekitar 880 batu nautika persegi,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan dan semua agensi serta komuniti maritim yang terlibat dalam operasi itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan