AM

Pengalaman hebat Maimunah mampu angkat imej DBKL - PM

14/08/2024 10:34 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) --  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif adalah individu yang layak menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar dan mengemudi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau percaya Maimunah mampu melaksanakan amanah itu berdasarkan pengalaman hampir empat dekad wanita berkenaan dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti tatkala mengetuai pelbagai institusi sama ada di dalam mahupun luar negara.

Anwar berkata Maimunah pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai selain menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini.

“Moga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi, insya-Allah,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Pelantikan Maimunah, 63, sebagai sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa esok (15 Ogos) bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh, yang bersara wajib.

Terdahulu, Perdana Menteri menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan