BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 AM

Notis Tren Tergendala, Bantu Pengguna Jelaskan Kelewatan Ke Tempat Kerja

16/08/2024 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Pernahkah anda mengalami situasi lewat ke tempat kerja disebabkan gangguan perkhidmatan pengangkutan awam sehingga dikenakan tindakan atas kelewatan tersebut?

Bagi mereka yang sememangnya bergantung dengan pengangkutan awam seperti tren untuk ke tempat kerja, situasi ini sudah tentu merupakan masalah besar yang boleh menganggu prestasi dan emosi di tempat kerja.

Namun hakikatnya, ramai tidak mengetahui pemberitahuan punca kelewatan disebabkan masalah operasi tren sebenarnya boleh dibuktikan kepada majikan dengan mendapatkan notis ataupun surat daripada Rapid KL.

Perkara tersebut disahkan Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) Nor Azmi Yusof yang memaklumkan kewujudan notis tren tergendala kepada pengguna yang terjejas berikutan kelewatan operasi tren di bawah seliaan pihaknya.

"Notis mengenai gangguan tren ini terdapat pada semua laluan kami. Sekiranya berlaku gangguan servis atau masalah dalam operasi yang mungkin menyebabkan pengguna lambat tiba ke destinasi, penumpang atau pengguna yang memerlukan notis daripada pihak Rapid Rail boleh mendapatkannya, kerana kami memang menyediakan notis tersebut.

"Notis dikeluarkan atas permintaan, bukan setiap kali berlaku gangguan. Sekiranya perkhidmatan tergendala, kami akan mengeluarkan notis melalui media sosial. Jika gangguan melebihi 15 minit, kami akan mengeluarkan kenyataan media," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Jelas Nor Azmi, notis tersebut boleh didapati di kesemua lima laluan utama iaitu laluan LRT Ampang/Sri Petaling, laluan LRT Kelana Jaya, laluan KL Monorail, laluan MRT Sungai Buloh-Kajang dan laluan MRT Putrajaya.

Menurutnya lagi, kebanyakan syarikat menerima notis yang dikeluarkan oleh pihak Rapid Rail sama ada menerusi media sosial ataupun kenyataan media.

“Tetapi ada sesetengah syarikat yang memerlukan (notis) lebih spesifik di mana pengguna (yang terjejas) boleh datang ke kaunter stesen kami dan minta untuk diberikan notis untuk tren tergendala. Notis itu akan lebih memberikan maklumat lebih terperinci mengenai perkhidmatan yang tergendala.

“Apabila ada permintaan untuk notis ini, pihak operasi yang menerima permintaan akan membuat semakan dengan bahagian pusat kawalan untuk pengesahan. Setelah bahagian pusat kawalan mengesahkan bahawa gangguan perkhidmatan, butiran tersebut akan dimasukkan di dalam notis tren tergendala,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan