BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 DUNIA

Cabaran Harian Untuk Terus Hidup Menyebabkan Warga Gaza Tiada Masa Untuk Berduka: PBB

16/08/2024 11:53 AM

NEW YORK, 16 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza mengumumkan lebih 40,000 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel yang berterusan, namun badan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Khamis, orang awam tidak mempunyai masa untuk berduka kerana perjuangan untuk terus hidup menjadi cabaran harian.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata angka korban itu sebahagian besarnya melibatkan kematian wanita dan kanak-kanak sejak konflik bermula pada Oktober.

"Keluarga yang kehilangan ahli keluarga tiada masa untuk berduka kerana mereka sendiri berhadapan dengan maut, kesakitan, kelaparan dan dahaga setiap hari," Xinhua memetik OCHA sebagai berkata. "Setiap hari digambarkan sebagai perjuangan untuk terus hidup."

OCHA berkata konflik berlarutan dan perintah pemindahan berulang mendorong kitaran perpindahan yang seolah-olah tidak berkesudahan dan menjadikannya semakin sukar bagi orang ramai untuk mengakses bantuan kemanusiaan yang mereka perlukan untuk terus hidup selepas 10 bulan perang itu meletus.

“Pasukan kami berjaya mengakses dua lokasi di Khan Younis hari ini (Khamis),” kata pejabat itu. “Selain kesukaran untuk pergi ke pasar, kekurangan makanan dan harga yang tinggi, mangsa menjelaskan kepada rakan sekerja kami bahawa disebabkan ketiadaan produk pembersihan dan sanitasi, menyebabkan mereka mengalami jangkitan kulit, terutamanya menjejaskan anak-anak mereka.”

OCHA juga berkata orang awam terpaksa membina tempat perlindungan mereka menggunakan apa sahaja bahan yang ada seperti kain, kepingan kayu atau kotak yang mereka temukan. Kanak-kanak diserang oleh tikus dan serangga pada waktu malam disebabkan keadaan tempat perlindungan yang daif. Dan di bawah satu lagi kemungkinan perintah pemindahan, mereka mungkin perlu meninggalkan tempat perlindungan sementara itu sekali lagi dan memulakan semuanya semula.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan