BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 AM

Keunikan Batik Alami Mampu Setaraf Batik Canting

16/08/2024 11:48 AM

Oleh Shaidathul Suhana Ros

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Bercerita mengenai teknik pembuatan batik, ramai pastinya membayangkan kaedah penghasilannya yang rumit dan memerlukan penelitian dari segi kaedah canting mahupun terap (blok) untuk menghasilkan pelbagai corak menarik.

Namun kini sesuai dengan trend fesyen semasa, penghasilan batik juga melalui evolusi tersendiri apabila teknik penghasilan dan coraknya turut berubah tanpa menjejaskan nilai estetika serta keaslian batik itu sendiri.

Seorang pengusaha batik tempatan Norida Dahlan, 60, berkata dia lebih gemar mengetengahkan konsep batik alami yang menggunakan daun paku-pakis, jati, beka, jarak, kayu putih dan rhu sebagai bahan utama dalam menghasilkan corak dan pewarna untuk produk batik.

"Mungkin teknik ini kurang popular ketika ini kerana penghasilannya rumit dan memakan masa agak lama. Namun, produk akhir yang terhasil adalah unik serta eksklusif dan sering mendapat permintaan termasuk dari luar negara antaranya Singapura, Jepun dan Jerman," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Norida merupakan antara 96 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang membuka reruai pada Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang berlangsung selama tiga hari sejak semalam di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini.

Menceritakan proses penghasilan batik alami, Norida berkata terlebih dahulu kain putih yang hendak digunakan itu akan direndam dalam air rebusan daun, kulit pokok dan akar kayu bagi menghasilkan warna semula jadi sebelum diletakkan pelbagai daun.

“Kain itu kemudian digulung dan diikat untuk dikukus selama dua jam. Selepas itu, teknik ekocetak digunakan bagi mengekalkan corak daun pada kain sebelum dijadikan produk akhir.

“Kebiasaannya  tempoh lima hari diperlukan bagi menghasilkan produk seperti selendang, kardigan, beg tangan dan baju kurung,” kata usahawan bimbingan Wilayah Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) itu.

Menurutnya, produk dihasilkan dijual dengan harga serendah RM10 hingga RM250 dan kebiasaannya dipasarkan dengan menyertai program jerayawara yang dianjurkan pelbagai kementerian di seluruh negara.

Hal itu membolehkannya berpeluang bersemuka dengan pelanggan sambil menerangkan keunikan teknik batik itu sambil berharap produk batik alami mampu setanding dengan produk komersial batik canting dari Pantai Timur suatu hari nanti.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan