BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 AM

Program MADANI Rakyat Zon Selatan Tawar Pemeriksaan Kesihatan Percuma

16/08/2024 11:23 AM

Oleh Aisha Hani Nor Azmir

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Orang ramai berpeluang mendapatkan nasihat dan pemeriksaan kesihatan secara percuma di reruai melibatkan agensi di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pada Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang berlangsung di Dataran UTM, Skudai selama tiga hari bermula semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Muhammad Nur Hakym Mohd Mislim berkata menerusi Hari Bertemu Pelanggan KKM yang melibatkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu, sejumlah 23 reruai berkaitan pemeriksaan dan penjagaan kesihatan disediakan buat pengunjung. 

"Pengunjung boleh melakukan pemeriksaan kesihatan pemeriksaan paru-paru, saringan kesihatan PeKa B40, pemeriksaan gigi, perkhidmatan oftalmologi (pemeriksaan mata), penilaian tahap kecergasan dan fisioterapi.

"Selain pemeriksaan kesihatan, kita juga memberikan penerangan serta memupuk kesedaran kepada orang ramai mengenai langkah-langkah penjagaan kesihatan termasuk penjagaan pemakanan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata semalam pihak kementerian turut terlibat dalam Pocket Talk KKM dengan kupasan topik 'Nak Cantik? Nak Flawless?' iaitu sesi penerangan mengenai kesedaran dalam mendapatkan perkhidmatan rawatan estetik bertauliah, perkhidmatan runding cara hidup sihat Wellness on Wheel Truck dan senaman.

Muhammad Nur Hakym berkata kesemua program itu selari dengan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang budaya hidup sihat bagi kesejahteraan kesihatan dan memperkasa individu serta komuniti dalam kawalan kesihatan kendiri. 

Tinjauan Bernama di khemah Hari Bertemu Pelanggan KKM mendapati selain reruai pemeriksaan kesihatan, reruai Bahagian Penguatkuasaan Farmasi 'Tolak Ubat Tidak Sah (ToBaTS)', dan reruai Bahagian Perkhidmatan Farmasi 'Kenali Ubat Anda' menjadi antara tarikan pengunjung. 

Turut mendapat perhatian ramai ialah reruai Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) yang menawarkan urutan tradisional secara terus kepada orang ramai.

Muhammad Nur Hakym turut menjelaskan takrifan bagi ubat tidak sah adalah merujuk kepada ubat yang tidak berdaftar dengan KKM, manakala ubat tiruan pula ialah ubat yang dicampur bahan atau racun terlarang, ubat yang diperoleh dari sumber tidak sah dan ubat yang diimport tanpa kelulusan KKM.

Bagi reruai 'Kenali Ubat Anda' pula, pengunjung didedahkan mengenai konsep '5B' iaitu pengguna ubat yang betul, ubat yang betul, dos, cara pengambilan dan masa pengambilan serta cara penyimpanan ubat yang selamat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan