SUKAN

Johor, Perak Laung Amaran Awal Kuasai Acara Badminton

16/08/2024 04:11 PM

SIBU, 16 Ogos (Bernama) -- Johor dan Perak memberi isyarat awal untuk menguasai acara badminton Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan membuka gelanggang esok di Stadium Tertutup Sibu, di sini.

Pengurus pasukan Johor Azuan Mohd Ali berkata dengan gabungan pemain pelapis yang berada di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain negeri, Johor dilihat mampu menguasai beberapa kategori dipertandingkan.

“Pemain yang kita harapkan untuk pingat adalah dalam kategori beregu campuran dan beregu lelaki manakala untuk kategori perseorangan lelaki, insya-Allah akan ada pingat tapi kita tak boleh nak pastikan pingat apa.

“Dari segi persiapan, skuad kita memang melakukan persediaan sejak dua tahun lepas dan saya rasa kami sudah bersedia serta berpuas hati dengan semua pemain yang dibawa pada SUKMA kali ini,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan di sini hari ini.

Pada SUKMA 2022, perseorangan lelaki kebangsaan Ng Tze Yong menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Johor selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Leong Jun Hao 18-21, 21-19, 21-19 dalam perlawanan akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil.

Sementara itu, Pengurus pasukan Perak Mohamed Zambri Bahari berkata skuadnya kali ini membariskan beberapa pemain berpengalaman beraksi pada SUKMA 2022 dan ia merupakan kelebihan yang perlu dimanfaatkan.

“Sasaran kita kali ini adalah menerusi kategori perseorangan lelaki dan beregu wanita manakala untuk kategori berpasukan pada edisi kali ini, terdapat perubahan sedikit kerana penganjur mempertandingkan kategori campuran berpasukan. Jadi saya rasa ia merupakan peluang terbuka semua pasukan bertanding.

“Kami meletakkan sasaran utama dalam kategori perseorangan lelaki menerusi Eogene Ewe Eon kerana beliau sekarang berada dalam skuad pelapis BAM dan kami yakin beliau mampu menghadirkan pingat untuk kontinjen Perak,” katanya.

Pada edisi 2022, skuad badminton Perak pulang tangan kosong tanpa sebarang pingat.

Badminton yang menawarkan keseluruhan enam pingat emas akan membuka gelanggang secara rasmi pada Sabtu ini, bermula dengan acara berpasukan campuran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan