DUNIA

WFP Sambut Baik Pembukaan Semula Lintasan Sempadan Adre Dari Chad Ke Sudan

17/08/2024 01:01 AM

GENEVA, 16 Ogos (Bernama-WAM) -- Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik berita mengenai pembukaan semula lintasan sempadan Adre dari Chad ke Sudan, lapor agensi berita WAM.

WFP sedang memperluaskan bantuan ke 14 kawasan di Sudan yang sama ada mengalami atau berisiko dilanda kebuluran, terutamanya di Darfur, Kordofan, Khartoum dan Gezira, dengan matlamat untuk membantu sehingga 8.4 juta orang menjelang akhir tahun ini, kata jurucakap WFP di Sudan, Lenny Kinsley, dalam sidang video di Geneva pada Jumaat.

Pembukaan lintasan  Adre datang pada masa yang kritikal apabila satu-satunya lintasan sempadan lain dari Chad ke Darfur tidak dapat digunakan akibat hujan lebat, dan kira-kira 30 lori yang membawa bantuan WFP tidak dapat melintasi sungai bermusim yang banjir selama hampir sebulan, kata jurucakap itu.

WFP amat memerlukan pembukaan semua lintasan sempadan lain ke Sudan supaya dapat menggunakan setiap laluan bekalan yang mungkin untuk menghantar bantuan makanan yang diperlukan, katanya.

Ia berkata rundingan damai yang sedang berlangsung di Geneva memberikan peluang penting bagi masyarakat antarabangsa untuk menangani cabaran operasi besar-besaran dan halangan akses secara langsung.

-- BERNAMA-WAM

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan