BERITA TERGEMPAR   Pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional - PM Anwar | PM Anwar umum pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi | 
 EKONOMI

Projek Koridor Ekonomi Anjung Selatan Dibincang Secara Proaktif Bulan Depan

16/08/2024 12:52 PM

MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Melaka akan memulakan perbincangan secara proaktif dengan Negeri Sembilan dan Johor bermula bulan depan dalam usaha merealisasikan Koridor Ekonomi Anjung Selatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. 

Ab Rauf berkata perbincangan terperinci itu akan dilakukan menerusi Unit Perancangan Ekonomi ketiga-tiga negeri berkenaan memandangkan wujudnya potensi dan petunjuk yang besar dalam usaha pembangunan ekonomi setempat. 

"Jadi kita boleh lihat pelbagai buah fikiran dibincangkan bagi pembangunan masa depan ekonomi di kawasan ini terutama dalam sektor ekopelancongan dan perindustrian sekali gus menjadikan setiap produk dihasilkan nanti akan saling melengkapi ekosistem ekonomi di kawasan perbatasan berkenaan," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam segmen bual bicara 'Dak Rauf Masuk Konti' di MelakaFM, Jabatan Penyiaran Malaysia Melaka di sini hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata rakyat kelahiran Melaka berpeluang memasuki satu lokasi pelancongan terpilih secara percuma bermula 24 Ogos ini sebagai hadiah daripada kerajaan negeri sempena sambutan hari kelahiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Beliau berkata bagi menggelakkan kesesakan di lokasi tarikan pelancongan seperti Zoo Melaka, Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise, tawaran tersebut akan dilanjutkan hingga 31 Dis depan. 

"Syaratnya, mereka hendaklah pemegang kad pengenalan 04 dan perlu mendaftar secara individu di aplikasi Telegram MyMelaka News untuk mendapatkan Kod Respon Pantas (QR) bagi membolehkan mereka memasuki mana-mana lokasi tarikan pelancongan yang ditawarkan seperti Melaka River Cruise, Zoo Melaka dan Menara Taming Sari secara percuma. 

"Dalam masa yang sama, kita juga sedang mencari kaedah terbaik buat individu yang bermastautin di negeri ini untuk sama-sama menikmati tawaran menarik tersebut memandangkan setakat ini keistimewaan hanya diberikan kepada pemegang kad pengenalan 04," katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan