AM

SSPA : Pelarasan Gaji Bantu Kurangkan Ketirisan Dan Pembaziran - KKDW

17/08/2024 08:17 AM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik seperti diumumkan hari ini akan membantu mengurangkan ketirisan dan pembaziran yang sering menjadi cabaran dalam sektor awam, menurut Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

KKDW dalam kenyataan hari ini memaklumkan selaras dengan pengumuman itu, tatakelola dalam sistem pengurusan dan pentadbiran KKDW turut akan diperkemas dan diperkukuhkan.

"Warga kerja KKDW turut diingatkan supaya tidak memandang ringan soal nilai dan integriti yang menjadi tonggak perkhidmatan awam.

"Sebagai kementerian yang memegang amanah untuk memajukan pembangunan dan kelestarian desa, warga kerja KKDW berikrar memastikan setiap reformasi yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh seiring misi 'Luar Bandar Sejahtera'," menurut kenyataan itu.

Menurut KKDW lagi, SSPA yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) itu lebih kompetitif dan ia bukan sahaja memberi suntikan semangat baharu kepada warga kerja KKDW, malah menjadi inspirasi untuk lebih berdaya saing serta beriltizam membawa perubahan kepada pembangunan negara. 

KKDW turut menzahirkan komitmen untuk melaksanakan reformasi budaya kerja yang lebih agresif selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan