EKONOMI

SME Bank Sasar Nilai RM50 Juta Daripada Sesi Padanan Perniagaan Program SME Bank XCESS 2024

17/08/2024 04:07 PM

PUTRAJAYA, 17 Ogos (Bernama) -- SME Bank menyasarkan nilai RM50 juta daripada Sesi Padanan Perniagaan antara 120 usahawan tempatan dengan 24 pembeli dari 12 negara, menerusi program SME Bank XCESS 2024.

Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata usahawan tempatan yang dipilih menyertai program itu adalah daripada industri makanan dan minuman, pembuatan, perkhidmatan serta minyak dan gas.

Manakala 24 pembeli itu pula dari Brazil, Jerman, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, India, China, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

“Semua usahawan tempatan yang menyertai program ini sudah disaring terlebih dahulu bersama  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kerana kami nak memastikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan itu memenuhi keperluan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SME Bank XCESS 2024, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan turut dihadiri Pengerusi Kumpulan SME Bank Datuk Muslim Hussain.

Mohamamd Hardee berkata inisiatif SME Bank XCESS itu membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meluaskan jangkauan mereka di peringkat antarabangsa dan menembusi pasaran global.

Sementara itu, Ewon menerusi ucapannya berkata program SME Bank XCESS 2024 menyokong komitmen kerajaan untuk menggalakkan dan mengukuhkan peranan sektor PKS dalam kemajuan ekonomi negara. 

“Program ini merupakan peluang yang baik untuk berinteraksi dan berbincang dengan pelabur, pemasar, serta agensi yang akan membantu dari segi peningkatan kapasiti, pengenalan kepada keadaan dan keperluan pasaran serta belajar daripada usahawan yang telah berjaya di pasaran luar. 

“Saya juga berharap program ini dijadikan sebagai wadah ataupun platform untuk mewujudkan kerjasama dan jaringan strategik antara usahawan PKS dengan kerajaan serta agensi-agensinya.” katanya.

SME Bank XCESS ialah program SME Bank yang diadakan bagi memupuk pertumbuhan dan penciptaan nilai dalam ekosistem PKS, melangkaui perkhidmatan pembiayaan.

Sepanjang tiga tahun lepas, SME Bank XCESS telah menarik lebih 140,000 peserta PKS, secara maya dan bersemuka, serta memadankan lebih 1,700 perbincangan perniagaan melalui sokongan 142 rakan strategik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan