DUNIA

Pembangunan Ibu Kota Baharu Nusantara Bakal Pacu Pertumbuhan Indonesia: Jokowi

17/08/2024 06:14 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 17 Ogos (Bernama) -- Presiden Joko Widodo sekali lagi mengulangi keyakinan beliau terhadap masa depan Indonesia, menekankan pentingnya pembangunan berterusan Nusantara, ibu kota baharu yang akan terus menjadi inspirasi harapan untuk kemajuan negara.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-79 pagi tadi, Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi menjemput ketua-ketua institusi negara melawat lokasi penting termasuk Istana Garuda yang baru siap dan “Sumbu Kebangsaan”, yang melambangkan kepelbagaian dan perpaduan rakyatnya.

"Saya berharap pembangunan berterusan Nusantara akan memberikan harapan baharu untuk kemajuan dan pertumbuhan Indonesia," kata Jokowi menerusi akaun rasmi X pada Sabtu.

Hari Kemerdekaan tahun ini disambut secara bersejarah di dua lokasi, dengan perayaan diadakan di Nusantara, Kalimantan Timur buat kali pertama, di samping tempat tradisional di Jakarta.

Kerajaan wilayah Jakarta menekankan bahawa sambutan tahun ini juga harus dijadikan momentum bagi Jakarta untuk memaksimumkan potensinya sebagai hab ekonomi nasional dan bandar global.

Semasa upacara itu, Jokowi diiringi Presiden terpilih Prabowo Subianto, memimpin acara di Istana Nasional di Nusantara pada 11 pagi waktu tempatan, satu peristiwa penting kerana ia merupakan sambutan Hari Kemerdekaan terakhirnya sebelum penggalnya berakhir pada 20 Okt.

Beliau tiba di Balikpapan, Kalimantan Timur, pada petang Jumaat selepas Ucapan Negara dan membentangkan Belanjawan terakhirnya, apabila mengumumkan peruntukan sebanyak IDR 400.3 trilion (kira-kira US$25.6 bilion) untuk 2025, bertujuan untuk pembangunan infrastruktur termasuk projek mampan untuk Nusantara.

Prabowo baru-baru ini berjanji untuk menyiapkan projek Nusantara, mengakui kepentingannya dalam mengurangkan tekanan di Pulau Jawa, yang telah lama menjadi pusat penduduk dan ekonomi Indonesia.

Nusantara sedang dibangunkan untuk menangani isu seperti kesesakan, pencemaran dan penurunan tanah di Jakarta serta untuk mempromosikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara.

Dalam temu bual dengan stesen televisyen tempatan, penduduk Kalimantan melahirkan rasa bangga sambutan utama diadakan di wilayah mereka, berharap semua program pembangunan yang dirancang akan membuahkan hasil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan