AM

PRK Nenggiri: Usia Bukan Penghalang Warga Emas Orang Asli Tunai Tanggungjawab

17/08/2024 05:04 PM

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Usia tidak menjadi penghalang bagi seorang warga emas suku kaum Mendriq untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.

Gadong Kelisar, 84, merupakan warga emas tertua dalam masyarakat Orang Asli di Kampung Kuala Lah, di sini, tampil dengan semangat tinggi ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Meranto, di sini. 

Berbekalkan tongkat, beliau perlahan-lahan mendaki ke saluran mengundinya, kira-kira 150 meter dari pintu pagar pusat mengundi.

“Saya kalau ikutkan dah banyak kali turun mengundi, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, boleh dikatakan lebih 10 kali dah terlibat dalam pilihan raya.

“Saya harap dengan PRK kali ini, boleh lah dapat bantuan makanan, bantuan dari segi tanaman dan juga dapat membela diri saya dan masyarakat orang asli suku kaum Mendriq di sini," katanya kepada pemberita selepas selesai menunaikan tanggungjawabnya.

Sementara itu, Kamal Gadong, 49, anak keduanya daripada enam beradik mengakui ayahnya tidak pernah terlepas walau sekali siri pilihan raya yang diadakan.

Kamal yang bekerja sendiri dan menetap di Kampung Keluat, Kuala Krai, berkata dia pulang ke kampung halamannya Khamis lepas untuk mempersiapkan dan membantu ayahnya dalam urusan peribadi dan memastikan beliau dapat mengundi hari ini.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan