AM

Ambil Tindakan Segera Jika Ada Kecuaian Dalam Perkhidmatan Awam - PM

17/08/2024 05:38 PM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengambil tindakan segera jika berlaku sebarang kecuaian dan kelemahan dalam sistem perkhidmatan awam.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi memastikan nama baik penjawat awam dapat dipertahan selain meningkatkan prestasi mereka selaras dengan reformasi perkhidmatan awam dan pelarasan gaji yang diumumkan semalam.

“Pada pertemuan semalam, tatkala kita umumkan pelarasan gaji penjawat awam ada janji dan ikrar bahawa mulai Isnin ini, setiap pejabat akan pastikan penjawat awam masuk pada waktunya dan bekerja bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi mereka.

“Saya harap rakyat boleh menilai, kalau ada di mana-mana pejabat daerah atau pejabat persekutuan atau agensi ada kelemahan mesti segera melaporkan kerana kita (sudah) bagi ganjaran (kenaikan gaji). Kalau ada kecuaian, saya sudah minta KSN dan KPPA ambil tindakan segera,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini. 

Semalam, beliau mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana serta pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Anwar turut mengumumkan Reformasi Perkhidmatan Awam iaitu meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan serta meningkatkan daya saing negara.

Perdana Menteri berkata ketika ini, prestasi perkhidmatan kerajaan bukan dinilai oleh pemimpin seperti Ketua Menteri dan Menteri Besar sebaliknya oleh rakyat.

“Rakyat yang nilai... mereka yang tunggu di Jabatan Pengangkutan Jalan, pejabat imigresen, kastam atau pejabat tanah... kalau macam dulu juga prestasinya, pasti rakyat akan persoal mengapa kerajaan beri ganjaran tapi kerjanya seperti dulu.

“Bila kita katakan tahap kecekapan penjawat awam, bermakna orang kampung tidak perlu tunggu berjam-berjam untuk mendapatkan kelulusan atau bertemu pegawai kerajaan. Kalau ini semua ada maka reformasi dalam sistem perkhidmatan awam akan dapat dilaksanakan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan