AM

Perkukuh Ekonomi Domestik Bantu Atasi Tempias Faktor Luaran - PM Anwar

17/08/2024 06:37 PM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia perlu mengukuhkan struktur dan membina kekuatan ekonomi domestik sebagai antara usaha untuk mengawal sebarang tempias daripada faktor luaran termasuk cabaran geopolitik.

Beliau berkata perancangan kerajaan dalam kerangka Ekonomi MADANI adalah untuk memastikan segala yang dirancang berjalan dengan lancar tetapi tidak dapat mengelak daripada terkena biasan faktor global masa kini.

“Kita tidak menduga (terdapat) perubahan (geopolitik) di Timur tengah (misalnya) dan (perubahan) politik yang berlaku di dunia. Oleh itu, (penting) bagi (kita) untuk memperkukuh kekuatan domestik dan dalaman. Ini (perkara) utama dan harus difahami oleh rakyat.

“Mengukuhkan kekuatan dalaman kita bermakna (memerlukan) komitmen seluruh pimpinan, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat. Justeru, kalau kita ada kekuatan domestik, tempias dari luar akan lebih terkawal,” kata beliau pada sesi dialog dan forum Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI sempena Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaan Malaysia dalam menghadapi pelbagai pemboleh ubah atau faktor global yang sering berubah dalam mencapai sasaran di bawah Ekonomi MADANI. 

Sambil menzahirkan kesyukuran, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata usaha untuk mengukuhkan ekonomi juga dapat dilihat menerusi pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 sebanyak 5.9 peratus, mengatasi unjuran yang ditetapkan sebelum ini.

Mengenai penyasaran subsidi diesel, Perdana Menteri berkata kerajaan bertanggungjawab untuk  melaksanakan langkah tersebut bagi mengelak kebocoran dana kerajaan yang selama ini turut dinikmati golongan kaya dan warga asing.

Anwar menyifatkan langkah tersebut sebagai bertepatan dengan usaha kerajaan mengurangkan ketirisan subsidi yang berlaku sejak sekian lama membabitkan jumlah sehingga mencecah berbilion ringgit.

“Apabila kita melaksanakan (penyasaran subsidi diesel), kena marah (justeru) kerajaan mesti menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, buat (apa) yang diperlukan.

“Kalau ada langkah-langkah tambahan untuk meringankan (beban) rakyat, kita jalankan. Ada yang berhak untuk dapat RM200 (tetapi) belum dapat, (perlu) daftar (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi-SKSD2.0) dan kita akan beri.

“Lebih baik buat begitu daripada beri berbilion ringgit kepada orang asing dan (kemudian) (diesel) diseludup,” kata beliau.

Terdahulu, dalam ucapan, Perdana Menteri berkata pencapaian ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 yang melebihi unjuran, antaranya dipacu oleh pelbagai inisiatif dan agenda yang dilaksanakan kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Semua ini menyebabkan keyakinan pelabur (meningkat) (ditambah) ringgit menjadi antara mata wang paling kukuh di rantau kita. Alhamdulillah,” kata Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan