AM

Program MADANI Rakyat Zon Selatan Rekod Lebih 220,000 Pengunjung

17/08/2024 09:33 PM

JOHOR BAHRU, 17 Ogos (Bernama) -- Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia di sini melabuhkan tirai hari ini dengan merekodkan jumlah pengunjung seramai 220,048 sepanjang tiga hari penganjurannya. 

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Ekonomi Dr Nor Azlina Ariffin berkata jumlah itu melepasi sasaran 100,000 dengan kehadiran pengunjung amat menggalakkan terutama pada Jumaat dan Sabtu. 

“Nilai daripada segmen jualan MADANI yang meliputi empat kategori ialah RM800,000 manakala padanan perniagaan melibatkan 41 padanan dengan 22 syarikat dengan potensi jualan sebanyak RM3.8 juta,” katanya kepada Bernama. 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu termasuk Kerajaan Negeri Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. 

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Johor.

Menerusi 34 reruai kementerian serta agensi kerajaan dan negeri, sebanyak 175 perkhidmatan langsung tersedia pada program itu khusus untuk rakyat terutama di zon selatan.

Pengunjung berpeluang menyertai aktiviti luar sehingga 6 petang termasuk perkhidmatan kesihatan, pengagihan benih pokok, padanan perniagaan, zoo haiwan jinak, aktiviti menunggang kuda dan pertandingan seperti memancing, e-sukan, kereta kawalan jauh serta larian ceria sejauh lima kilometer. 

Selain berpeluang menyertai cabutan bertuah di reruai kementerian, pengunjung dapat melihat sendiri demonstrasi kraf, persembahan kebudayaan, pameran aset kerajaan daripada empat agensi. 

Terdapat juga 2,125 kekosongan jawatan membabitkan 21 majikan menerusi Karnival Kerjaya MyFuture Jobs. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan