SUKAN

Pilihan Selangor Juara Hatrik TSSC 2024, Kecewakan Pilihan Singapura 2-1

18/08/2024 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pilihan Selangor sekali lagi menjulang kejuaraan Piala Sultan Selangor (TSSC) bagi edisi ketiga berturut-turut selepas mengecewakan Pilihan Singapura 2-1 di venue bersejarah Stadium Merdeka, di sini malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor memperoleh kemenangan hatrik selepas memenangi kejuaraan bersejarah itu bagi edisi 2019 dan 2018 sekali gus menjadi kejuaraan ke-10 skuad Gergasi Merah sejak pertandingan itu dianjurkan pada 2001. 

Babak pertama menyaksikan Selangor bermula garang apabila gawang pasukan pelawat hampir dibolosi seawal minit ketiga menerusi tendangan Muhammad Alif Izwan Yuslan, namun bola berjaya ditangkap kemas penjaga gol Singapura Muhammad Syazwan Buhari. 

Selangor terus melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan, bagaimanapun kekebalan benteng Singapura mengekang usaha skuad bimbingan Nidzam Jamil untuk mencipta gol sehingga separuh masa pertama tamat tanpa jaringan. 

Memasuki separuh masa kedua pasukan tuan rumah dilihat lebih ganas mengatur langkah apabila rembatan Ahmad Danial Ahmad Asri berjaya merobek gawang lawan namun gol tersebut tidak dikira kerana pemain itu berada pada kedudukan ofsaid. 

Selangor akhirnya membuka akaun jaringan menerusi penyerang Ronnie Fernandez yang berlari menggelecek bola dari jarak jauh sebelum bola dileret tenang ke dalam gawang Singapura sekali gus meledakkan sorakan kira-kira 20,000 penonton yang hadir.

Singapura kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Muhammad Faris Ramli pada minit ke-87 sebelum Selangor menggandakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang diambil Alvin Fortez tiga minit kemudian. 

Keputusan kekal 2-1 hingga wisel penamat dibunyikan.

Sementara itu, pasukan Veteren Selangor turut menampilkan aksi cemerlang apabila merampas semula kejuaraan kejohanan itu selepas menumpaskan Singapura 2-1. 

Jaringan itu dihasilkan oleh legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan yang menendang kencang bola ke dalam gawang pasukan pelawat selepas menerima hantaran rakan sepasukan Ashrof Hanafiah seawal minit ketiga. 

Bersambung babak kedua Selangor berjaya menjarakkan kedudukan apabila Asmawi Bakhiri yang membuat sepakan lambong membolos gawang pada minit ke-17 sebelum Singapura merapatkan jurang menerusi Mohammad Noor Ali pada minit kecederaan dan keputusan kekal 2-1. 

Aksi 30 minit antara kedua-dua pasukan veteran itu memukau seluruh penonton di Stadium Merdeka sekali gus menggamit nostalgia dua seteru itu.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan perlawanan tersebut. 

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berangkat menyaksikan perlawanan bersejarah yang kembali dianjurkan selepas empat tahun sejak 2020 berikutan pandemik COVID-19.

Penonton juga disajikan persembahan payung terjun oleh Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan nyanyian Raja Pop Malaysia Datuk Jamal Abdillah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan