AM

Pelajar Pakar Bedah UKM Menang Pertandingan Anastomosis Malaysia

18/08/2024 12:06 PM

Oleh Rafe'aton Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Dua pelajar Sarjana Pembedahan Am Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) mencipta kejayaan cemerlang apabila memenangi tempat pertama dan ketiga pertandingan Anastomosis Malaysia peringkat kebangsaan, Rabu lepas.

Dr Sarah Liyana Mohd Hisham, 34, dan Dr Khairul Anwar Abdul Rahman, 35, kedua-duanya daripada Unit Kardiotorasik, Jabatan Surgeri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing memenangi tempat pertama dan ketiga daripada 12 penyertaan termasuk daripada Kementerian Kesihatan dan universiti di seluruh negara.

Pakar Bedah Perunding Kardiotorasik yang juga Pensyarah Jabatan Surgeri, Fakulti Perubatan UKM Profesor Madya Datuk Dr Nur Ayub Md Ali berkata kejayaan itu dicapai melalui persiapan rapi dan penyelidikan teliti serta tunjuk ajar berkesan daripada pensyarah.

“Kejayaan dicapai menerusi persiapan mencukupi dan penyelidikan teliti, selain belajar daripada kesilapan. Kepimpinan berkesan daripada pensyarah yang memberikan hala tuju yang jelas, persekitaran positif dan sentiasa memberi sokongan, memastikan pelajar dapat melakukan yang terbaik,” kata Dr Nur Ayub yang juga Ketua Penyelia dan Penasihat pasukan UKM, kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata sesi percambahan fikiran antara pensyarah dengan pelajar serta kemampuan menangani isu melalui perbincangan proaktif dan perkongsian pengalaman turut membantu kejayaan berkenaan.

Dr Nur Ayub berkata anastomosis ialah teknik pembedahan yang digunakan untuk menyambung dua hujung saluran darah atau struktur berongga lain bagi memulihkan aliran darah atau cecair dan pelajar dalam pertandingan itu dinilai berdasarkan teknik pelaksanaan dan kesempurnaan melakukan anastomosis.

Pertandingan anjuran Johnson & Johnson MedTech (J&J MedTech) itu bertujuan memberi pendedahan dalam menjalankan pembedahan anastomosis, selain memberikan latihan praktikal bagi meningkatkan kemahiran teknikal bakal pakar bedah di Malaysia, katanya.

Beliau berkata sebagai persediaan, peserta diberikan kursus intensif selama tiga jam melalui webinar oleh J&J MedTech pada 10 Ogos lepas dengan dibimbing oleh bekas Presiden European Association for Cardio-Thoracic Surgery (EACTS) dan Perunding Kardiotorasik Profesor Paul Sergeant.

Dengan kejayaan ini katanya, Dr Sarah Liyana akan mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat Asia Tenggara pada 7 Sept ini di Kuala lumpur dan akan bersaing bersama enam pelatih pakar bedah dari Asia Tenggara yang juga merupakan pemenang dalam pertandingan terbabit di negara masing masing.

"Harapan saya semoga Dr Sarah Liyana dapat mengharumkan nama UKM, Fakulti Perubatan, dan Jabatan Surgeri serta mengangkatnya ke peringkat yang lebih tinggi.

"Semoga kejayaan ini membuka lebih banyak peluang dan pengalaman berharga untuk beliau pada masa depan serta terus cemerlang dan memberi inspirasi kepada orang lain," kata Dr Nur Ayub.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan