POLITIK

Cukup Main Politik, Sekarang Masa Bekerja Untuk Rakyat - Awie

18/08/2024 12:41 PM

GUA MUSANG, 18 Ogos (Bernama) -- Kemenangan yang diraih bukan untuk bersuka ria, tetapi ia satu amanah dan tanggungjawab yang diwakilkan untuk masa depan yang lebih baik bagi penduduk di Dewan Undangan Negeri(DUN) Nenggiri.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berjaya merampas kembali kerusi DUN itu pada pilihan raya kecil (PRK) DUN itu, semalam berkata antara isu yang akan diberi fokus utamanya sebagai wakil penduduk, termasuk isu tanah dan rumah generasi kedua peneroka di DUN itu.

Turun menyantuni penduduk di Sungai Asap, di sini, awal pagi hari ini pada hari pertamanya, beliau berkata proses pemilikan geran untuk peneroka terlibat memerlukan bantuan Kerajaan Negeri, dan beliau akan berbincang dengan mereka agar diberi kelonggaran untuk membantu.

“Untuk Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) sudah ada (geran) di Sungai Asap B dengan lebih kurang 100 buah rumah, manakala untuk Felda, terdapat beberapa yang telah dimaklumkan oleh pihak Felda dan wakil generasi kedua Felda Perasu.

“Bagi yang lain, rumah mesra rakyat memerlukan geran tanah sebagai dokumen penting dan kebanyakan mereka golongan muda mahupun berusia, tidak mempunyai geran. Proses pemilikan geran  ini memerlukan bantuan Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita.

Mohd Azmawi Fikri yang bertanding untuk Barisan Nasional(BN) mewakili Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti besar 3,352 undi selepas memperoleh 9,091 undi untuk menewaskan pencabarnya Mohd Rizwadi Ismail daripada PAS, mewakili Perikatan Nasional yang meraih 5,739 undi.

Mengenai kemenangannya, beliau yang mesra disapa Awie berpendapat antara faktor yang memainkan peranan adalah kepercayaan pengundi muda dan pengundi luar serta kempen fizikal, dan media sosial yang berkesan.

“Mungkin dari segi cara kempen, kita terus ‘menyentuh'’hati pengundi. Saya sendiri tidak menabur janji dan kita terus menyantuni pengundi secara fizikal mahupun medsos (media sosial),” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut memberi komitmen untuk terus bekerja keras dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di DUN Nenggiri tanpa mengira kaum atau warna politik.

“Cukuplah 14 hari tempoh berkempen, kita masing-masing ‘berperang mulut’. Sekarang masa untuk bekerja…saya semestinya memberikan komitmen terbaik untuk rakyat Nenggiri,” katanya.

-- BERNAMA 


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan