AM

Komuniti Pangsapuri Gapura Bayu Anjur Perarakan Mini Kemerdekaan

18/08/2024 05:55 PM

KAJANG, 18 Ogos (Bernama) -- Pangsapuri Gapura Bayu, Jade Hills di sini tampil berbeza menyambut Bulan Kebangsaan tahun ini apabila mengambil inisiatif mengadakan perarakan mini Kemerdekaan.

Kemeriahan perarakan sejauh 700 meter yang disertai lebih 300 penghuni terdiri dewasa dan kanak-kanak, masing-masing menggayakan pelbagai pakaian menarik diiringi nyanyian lagu patriotik, basikal berhias, kibaran bendera kecil serta sepanduk yang melambangkan kecintaan kepada negara.

Pengerusi majlis Mohd Zulfadhli Mohd Zaki berkata perarakan itu adalah satu tiga acara utama selain ceramah, pertandingan futsal dan bola jaring yang dirancang Ahli Jawatankuasa surau pangsapuri tersebut, Surau al-Rayyan sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

“Ini penganjuran pertama bersempena Hari Kebangsaan sejak pangsapuri ini dibuka pada 2019 yang bertujuan memupuk semangat kerjasama dan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan penduduk.

“Alhamdulillah, walaupun tinggal di hartanah berstrata iaitu bangunan tinggi yang susah untuk berkumpul dalam satu-satu masa, tapi sebaliknya dengan jumlah penyertaaan yang ramai ini kita membuktikan semangat kejiranan yang baik dan kesepakatan antara satu sama lain,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain perarakan, majlis yang dihadiri oleh Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan itu turut diserikan dengan aktiviti senamrobik, pertandingan basikal berhias, pertandingan pakaian merdeka dan penyerahan Jalur Gemilang untuk setiap kediaman.

Sementara itu, Nur Zuriyatie Aziz berkata dia agak terkejut dengan sambutan menggalakkan daripada penduduk kerana pada peringkat awal, hanya kira-kira 40 ketua isi rumah memberikan persetujuan untuk hadir pada majlis hari ini.

“Rasa bimbang ada, contohnya dari segi penyediaan makanan, kerana mungkin ramai yang tak dapat hadir (berkumpul) hujung minggu kerana ada urusan lain.

“Tetapi, pemberitahuan secara kerap dan berulang kali mengenai program ini melalui kumpulan WhatsApp pangsapuri walaupun tiada pertemuan bersemuka dengan penduduk berjaya juga akhirnya,” katanya dan menambah pangsapuri berkenaan mempunyai 700 unit kediaman.

Bagi Muhammad Ricky Abdullah, penyertaannya bersama isteri dan dua anaknya dalam acara itu bertujuan menyemai semangat patriotik kepada anak-anak selain menyemarakkan lagi bahang sambutan kemerdekaan.

"Anak-anak adalah penyambung generasi akan datang dan bakal mewarisi kemerdekaan negara. Jadi, melalui acara seperti ini ia dapat menerapkan semangat cintakan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan