AM

Pelarasan Gaji : PETRA Lebih Responsif, Tingkat Mutu Perkhidmatan

18/08/2024 05:40 PM

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan lebih responsif dan terus meningkatkan mutu perkhidmatan seiring dengan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan sektor awam.

Selaras dengan pelarasan gaji yang diumumkan kerajaan pada Jumaat lepas, PETRA memaklumkan ia akan terus memastikan kecemerlangan dalam pengurusan tenaga dan transformasi air, serta memacu agenda negara ke arah kemajuan yang lebih pesat dan berdaya saing di peringkat global.

"PETRA menyambut baik aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19. 

"Kementerian juga menyokong tiga intipati utama reformasi perkhidmatan awam yang diumumkan dengan berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan melalui penerapan teknologi dan proses inovatif dalam pengurusan tenaga dan air," menurut PETRA dalam kenyataan hari ini.

Justeru, menurut kenyataan itu PETRA komited untuk mempersiapkan pegawai dalam menghadapi perubahan dengan menyediakan latihan berterusan dan peluang pembangunan profesional.

Dengan pendekatan berkenaan, PETRA yakin dapat memperkukuhkan daya saing negara melalui inisiatif yang menyokong pertumbuhan mampan dan kecemerlangan dalam sektor kritikal itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

Menurut PETRA , pelarasan gaji berkenaan bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan persekitaran kerja tetapi juga berperanan penting dalam mengurangkan risiko rasuah dan ketirisan dalam sektor awam.

"Dengan pendapatan yang relevan dan kesejahteraan yang lebih terjamin, pegawai awam akan kurang terdedah kepada tekanan kewangan yang boleh mendorong kepada amalan tidak beretika," menurut PETRA.

Di samping itu, penambahbaikan kemajuan kerjaya bagi pegawai gred 41 hingga gred 48 melalui kenaikan pangkat secara Khas untuk Penyandang (KUP) dijangka memberi manfaat kepada lebih 342 orang pegawai di Jabatan dan agensi di bawah PETRA, terutamanya dalam skim perkhidmatan tertutup di Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

Langkah pengiktirafan pegawai sebagai Subject Matter Expert (SME) dalam bidang kritikal seperti peralihan tenaga memberikan PETRA kelebihan untuk memanfaatkan kepakaran dalaman dan mengurangkan kebergantungan kepada konsultan luar.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan