AM

FAMA Dedah Anak OKU Kenal, Nikmati Buah Tempatan Menerusi Uji Rasa

18/08/2024 10:13 PM

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi pengalaman baharu kepada anak-anak kurang upaya mengenali, mencuba dan menikmati buah-buahan tempatan menerusi program interaksi termasuk uji rasa dan puzzle.

Pengarah FAMA Kelantan Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata program buat julung kalinya itu adalah antara kempen makan buah-buahan tempatan kepada golongan berkenaan daripada kanak-kanak sehingga dewasa di pusat pendidikan khas.

"Setiap tahun, FAMA akan mengadakan kempen ini secara bersiri dan lazimnya melibatkan pelajar harian biasa, namun kali ini kita beri peluang kepada anak-anak istimewa merasai pengalaman sama.

"Usaha ini dapat mendidik golongan berkenaan mengenali dan mengetahui kelebihan hasil tanaman tempatan yang kaya dengan nutrisi, selain memupuk tabiat kehidupan sihat dengan menggalakkan pengambilan buah-buahan tempatan sebagai sebahagian diet harian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bersempena dengan Kempen Makan Buah-Buahan Tempatan Pupuk Semarak Jiwa Merdeka Anak Istimewa di Bizara Educare Centre di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengasas pusat pendidikan itu Wan Zakaria Wan Abu Bakar bersama 60 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Wan Faizatul Aniza berkata lebih menarik, kempen itu turut disemarakkan dengan aktiviti kibaran Jalur Gemilang dan persembahan khas edisi merdeka daripada anak-anak istimewa berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan sambutan menggalakkan, aktiviti itu akan dijadikan antara pengisian kalendar FAMA pada tahun akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai pasaran buah-buahan tempatan di Kelantan, beliau berkata dijangkakan tiada lambakan buah-buahan berlaku tahun ini kerana petani sudah bijak mengaplikasikan kaedah pengeluaran secara berperingkat mengikut negeri masing-masing.

"Jangkaan itu juga berdasarkan harga buah-buahan tempatan semasa yang kekal stabil dan tiada sebarang laporan lambakan direkodkan setakat ini," katanya.

Beliau berkata Kelantan mengeluarkan kira-kira 2,307 tan metrik buah-buahan tempatan bermula Julai hingga awal September tahun ini melibatkan durian kampung, durian klon, rambutan, manggis, selain duku dan dokong, berbanding 9,119 tan metrik dari Julai hingga Oktober tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan